Bintang angkat berat Melaka terbabit kemalangan

Masa Membaca:59 Saat

ASAHAN 8 Mei – Atlet pembangunan angkat berat Melaka cedera selepas terbabit kemalangan membabitkan motosikal dan kereta, 6 Mei lalu.

Dalam kejadian 6.55 petang itu, Nur Fatihah Zinoras, 12, patah pergelangan kaki kiri dan jari tengah pada tangan kiri selepas motosikal yang diboncengnya dirempuh sebuah kereta.

Menurut Jurulatih Pusat Latihan Daerah (PLD) Nyalas Mohd Said Menhad, akibat kecederaan itu, Nur Fatihah yang merupakan pemenang dua pingat emas pada Karnival Bakat Kebangsaan terpaksa menjalani pembedahan.

Jelasnya, pembedahan pertama telah dilakukan semalam di Hospital Jasin dan pembedahan kedua dijadual pada 13 Mei susulan tulangnya masih bengkok.

“Akibat kecederaan itu, Nur Fatihah perlu berehat selama lapan bulan dari tarikh pembedahan dan penilaian semula perubatan akan dilakukan selepas itu.

“Daripada penilaian itu, kita akan meneliti semula peluang untuknya kembali meneruskan latihan bersama kem angkat berat Negeri Melaka,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Terdahulu, nasib menimpa Nur Fatihah mendapat perhatian Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Negeri Melaka Mohd Asri Ninggal yang menziarahi atlet muda berkenaan di Hospital Jasin.

Pada lawatan itu, Mohd Asri turut menyampaikan sedikit sumbangan selain memberikan kata-kata semangat agar adik Nur Fatihah segera sembuh dan dipermudah segala urusan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

422
Kongsi :
Previous post Paramedik Komuniti tarik minat Singapura, Indonesia
Next post Polis kenal pasti pemilik akaun media sosial berhubung kejadian simbah asid
Ubah saiz-+=