Piala Malaysia: MUFC sasar empat terbaik

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

KELAB Bolasepak Melaka United (MUFC) mengimpikan untuk melangkah lebih jauh dalam kempen Piala Malaysia tahun ini selepas sekadar menamatkan saingan di peringkat kumpulan pada edisi terdahulu.

Pengurus MUFC, Muhammad Akram Abdullah berkata, sasaran ditetapkan adalah ara ke separuh akhir kejohanan piala tertua bola sepak negara itu.

Bagaimanapun, katanya, untuk mencapai sasaran itu, segala persiapan perlu dilakukan bermula sekarang, selain ‘post-mortem’ segala kelemahan lalu yang perlu diperbaiki.

MUFC sedia memberikan saingan sengit kepada pasukan-pasukan bertanding dalam saingan Piala Malaysia tahun ini. (FOTO: MUFC).

“Selepas menjamin tempat di Liga Super musim depan dan melayakkan diri dalam saingan Piala Malaysia, inilah peluang buat pasukan menebus kesilapan lalu dan berjuang untuk mendapatkan keputusan terbaik.

“Sekiranya kita berusaha dan memperbaiki kekurangan pasukan, insya-Allah kita boleh mara lebih jauh dalam saingan Piala Malaysia,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Sementara itu, Ketua Jurulatih MUFC, Zainal Abidin Hassan mengakui saingan kali ini akan menjadi lebih sengit dengan rata-rata pasukan mahu memburu trofi kejuaraan itu selepas ia dibatalkan pada edisi tahun lalu akibat COVID-19.

Justeru, katanya, banyak ‘kerja rumah’ perlu dilakukan anak buahnya demi mencapai sasaran yang ditetapkan pihak pengurusan.

“Perkara paling utama perlu dilakukan ialah memperbaiki kelemahan kita terutama di bahagian pertahanan.

“Kita perlu ambil iktibar dan kemaskan bahagian benteng, selain memanfaatkan segala peluang yang kita terima untuk menjaringkan gol,” katanya.

Dalam pada itu, Zainal turut tidak menolak kemungkinan untuk memberi peluang kepada muka-muka baharu beraksi dalam kesebelasan utama pasukan dalam kempen Piala Malaysia tahun ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

584
Kongsi :
Previous post Kerajaan perkemas SOP, daripada 181 kepada 10 sahaja – Hishammuddin
Next post Buktikan gelembung pelancongan projek rintis Langkawi berjaya – Hishammuddin
Ubah saiz-+=