Sorting by

×

Buktikan gelembung pelancongan projek rintis Langkawi berjaya – Hishammuddin

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

KUALA LUMPUR 14 Sept – Pembukaan lebih banyak sektor pelancongan negara bergantung kepada kejayaan Gelembung Pelancongan Projek Rintis Pulau Langkawi, kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Justeru, beliau menegaskan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) perlu membuktikan projek rintis itu berjaya, bagi meyakinkan kerajaan untuk membenarkan pembukaan lebih banyak aktiviti pelancongan di seluruh negara.

Beliau berkata menerusi projek rintis itu Mesyuarat Kuartet Menteri COVID-19 mahukan MOTAC menggariskan prosedur operasi standard (SOP) yang betul-betul boleh dipatuhi rakyat dan pemain industri, termasuk keperluan membuat ujian saringan COVID-19 sebelum melancong untuk mengelak peningkatan penularan COVID-19.

“Apa yang penting sekali, mereka yang pergi ke Pulau Langkawi perlu berdisplin (mematuhi SOP) dan telah menerima vaksin. Sekiranya projek ini (Pulau Langkawi) gagal, kita tidak akan buka tempat lain (pelancongan).

“Ia menjadi tanggungjawab Nancy (Datuk Seri Nancy Shukri) dan MOTAC untuk membuktikan kepada kami bahawa mereka boleh lakukan di Langkawi sebelum dibuka tempat-tempat lain,” katanya pada sidang media khas Mesyuarat Kuartet Menteri COVID-19 di Parlimen, hari ini.

Sidang media itu turut dihadiri Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan Pulau Langkawi boleh dikunjungi pelancong dari seluruh negara kecuali yang berada di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai 16 September, bagaimanapun ia tertakluk kepada SOP ketat ditetapkan.

Ditanya mengenai kriteria penilaian bagi membolehkan Langkawi menjadi penanda aras dalam perkara itu, Hishammuddin berkata ia sama seperti syarat diperlukan bagi peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) seperti kadar vaksinasi dan penggunaan katil hospital, serta jumlah kes COVID-19.

“Dari mana mereka datang, bagaimana mereka datang ke Langkawi, semua itu kita kena teliti,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

558
Kongsi :
Previous post Piala Malaysia: MUFC sasar empat terbaik
Next post Pemilihan timbalan speaker Dewan Rakyat ditangguh
Ubah saiz-+=