Pemilihan timbalan speaker Dewan Rakyat ditangguh

0
194
Wan Junaidi.

KUALA LUMPUR 14 Sept – Pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi menggantikan Datuk Seri Azalina Othman Said yang meletak jawatan, ditangguhkan ke persidangan akan datang iaitu Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen Ke-14 yang dijadual pada bulan hadapan.

Usul mengenai perkara itu pada asalnya disenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat kali ini iaitu pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-14.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, penangguhan itu bagi membolehkan pindaan Perkara 57 (1)(b) Perlembagaan Persekutuan dibuat untuk menambah jumlah Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat daripada dua kepada tiga orang.

“Kita mungkin akan membuat satu peraturan supaya salah seorang daripada timbalan speaker yang dipilih nanti akan disandang oleh wakil pembangkang,” katanya ketika mengusulkan penangguhan pemilihan itu.

Usul penangguhan itu diluluskan dengan undian suara apabila lebih suara bersetuju.

Perkara 57 (1)(b) Perlembagaan Persekutuan menyatakan Dewan Rakyat hendaklah dari semasa ke semasa memilih dua orang Timbalan Yang Dipertua daripada kalangan ahli Dewan Rakyat.

Wan Junaidi berkata beliau telah berbincang dengan pihak Jabatan Peguam Negara supaya pindaan itu dibawa pada penghujung persidangan kali ini bagi bacaan kali pertama.

Terdahulu Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) mempersoalkan penangguhan itu dan meminta Wan Junaidi untuk memberikan alasan membawa usul penangguhan itu sedangkan banyak urusan Parlimen perlu dilaksanakan termasuk Transformasi Parlimen dan pembentangan Belanjawan 2022.

Dewan Rakyat sebelum ini mempunyai dua Timbalan Yang Dipertua iaitu Datuk Mohd Rashid Hasnon dan Azalina.

Azalina meletak jawatan pada 23 Ogos.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.