Pidato Rukun Negara TYT Yang di-Pertua Negeri tarik lebih 3,000 penyertaan

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

GADEK 20 Ogos – Pidato Rukun Negara Peringkat Kebangsaan Piala Pusingan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka 2023 mendapat sambutan hebat apabila menerima lebih 3,000 penyertaan tahun ini.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem berkata, pertandingan dianjurkan Pejabat Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka bersama Kerajaan Negeri Melaka dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara merekodkan penyertaan tertinggi berbanding tahun lalu.

“Pertandingan dianjurkan ini mampu mempertingkatkan integriti, perpaduan dan keharmonian negara kita dan kita merancang akan menganjurkan lebih banyak program seperti ini pada masa akan datang.

“Setakat ini seramai 3,040 peserta akan menyertai pertandingan ini pada 14 September depan berbanding tahun lalu hanya seramai 1,226 orang peserta sahaja.

“Malah, sempena Bulan Kemerdekaan Kerajaan Negeri merangka lebih kurang 30 program berteraskan perpaduan bagi memastikan keharmonian negara mampu dicapai diantara setiap kaum,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Jalinan Integrasi Nasional Penjawat Awam 2023 diadakan di Balai Raya Kampung Gadek, di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Datuk Che Roslan Che Daud dan Pengarah JPNIN negeri, Intan Suhana  Yusuff.

Terdahulu, dalam program diadakan itu seramai 41 penjawat awam Sabah dan Sarawak yang ditugaskan di Semenanjung Malaysia menyertai program keluarga angkat menerusi kerjasama Komuniti Rukun Tetangga (KRT)  Kampung Gadek.

Program tiga hari dua malam bermula pada 18 Ogos lalu membabitkan 18 keluarga di kampung berkenaan.

Sementara itu, Hee Sem berkata, pihaknya menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Perpaduan Negara berikutan memilih Melaka sebagai destinasi penganjuran program berkenaan.

Katanya, program didakan mampu menjalinkan hubungan dan keharmonian pelbagai kaum dari Sabah dan Sarawak bagi mengenali budaya yang ada di negeri ini.

“Kita galakkan agensi kerajaan (negeri) lain mencontohi program seperti ini dan wajar dilaksanakan supaya kita mampu mengeratkan hubungan antara kaum.

“Kerana ia sejajar dengan Flagship Melaka Sejahtera dalam Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ2035) yang memfokuskan kepada pembangunan modal insan di mana ia menjadi faktor utama bagi mengekalkan perpaduan dan keharmonian diantara kaum,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1500
Kongsi :
Previous post Nahas pesawat : Sembilan jenazah dikebumi hari ini
Next post Lahir belia berkualiti, patriotik
Ubah saiz-+=