Pindaan Akta FAMA pada sesi Parlimen Julai – Ronald Kiandee

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

KUCHING, 24 April – Pindaan kepada Akta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) 1965 akan dibawa ke sesi Parlimen pada Julai depan bagi membolehkan FAMA mengurus pemasaran komoditi ternakan tertentu.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata melalui pindaan akta itu, FAMA akan memainkan peranan dalam pengedaran komoditi ternakan serta menstabilkan rantaian bekalan.

“Pada masa ini tiada agensi khusus yang berfungsi dalam menjalankan aktiviti pemasaran ternakan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program Semarak Syawal peringkat kebangsaan di Medan Niaga Satok di sini, hari ini.

Beliau berkata dengan pindaan itu FAMA juga akan berperanan dalam memastikan bekalan makanan serta rantaian bekalan di pasaran tidak terganggu.

FAMA merupakan agensi dibawah MAFI yang diberi kuasa di bawah Akta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan 1965 (Akta 141) bagi menyelia, menyelaras, mengawal selia dan memajukan pemasaran keluaran pertanian Malaysia kecuali bagi produk nanas, getah, kelapa sawit, padi, beras, tembakau dan koko.

Sementara itu Ketua Pengarah FAMA, Datuk Zainal Abidin Yang Razalli berkata program Semarak Syawal diadakan serentak di seluruh pasar-pasar tani di Malaysia mulai hari ini sehingga 2 Mei.

“Tahun ini usahawan di bawah FAMA seperti Agrobazaar, kedai rakyat dan sebagainya juga turut serta dalam program ini bagi memberikan peluang kepada pengguna mendapatkan bekalan sepanjang Aidilfitri,” katanya.

MAFI dalam kenyataannya memaklumkan sejumlah 15,391 usahawan dengan 797 outlet yang disediakan akan mendapat manfaat melalui program Semarak Syawal itu dengan sasaran nilai jualan berjumlah RM25 juta.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1146
Kongsi :
Previous post Kemalangan maut di Melaka meningkat 50 peratus
Next post MOSTI cadang perkenal industri, teknologi dron dalam silibus STEM
Ubah saiz-+=