PKBM harap KBS ambil langkah drastik selesai isu LTDL 2022

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

KUALA LUMPUR, 23 Jan – Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) meminta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengambil tindakan drastik bagi menyelesaikan isu yang timbul berhubung penganjuran kejohanan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 yang dijadual bermula 3 Mac ini.

Presiden PKBM Datuk Abu Samah Abd Wahab berkata perkara itu adalah bagi memastikan status “Pro Series” LTdL 2022 tidak ditarik balik oleh Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

“LTdL pernah mencapai status ‘hors classe’ dan kemudian ‘Pro Series’. Ia satu perjalanan sangat panjang dan melibatkan ratusan juta (ringgit) sejak ia dimulakan pada 1996. PKBM tidak mahu dipersalahkan jika senario ini berlaku kelak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagi melancarkan penganjuran LTdL 2022, beliau mendakwa pihaknya telah berkali-kali mengutus surat kepada pihak penganjur, Human Voyage, namun tidak diendahkan, selain turut menghantar surat kepada Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebanyak dua kali sejak September tahun lepas.

“Untuk LTdL 2022, kami difahamkan KBS (Kementerian Belia dan Sukan) masih mempunyai baki kontrak dengan Human Voyage. Namun, terdengar kononnya Human Voyage telah cuba menukar tarikh kejohanan dari 3 Mac kepada Julai 2022 tanpa pengetahuan PKBM.

“Saya ingin tegaskan PKBM ialah pemilik LTdL dan Human Voyage ialah penganjur kejohanan. KBS pula ialah pihak berkuasa yang memberi dana kepada Human Voyage. Ini jelas dan tiada dakwa-dakwi dalam hal ini,” katanya.

Sehingga kini, beliau berkata pihaknya masih menunggu maklum balas daripada pejabat menteri.

Beliau berkata PKBM mengambil inisiatif sendiri mendaftar kejohanan itu pada Jun tahun lepas bagi memastikan kejohanan itu terus kekal dalam kalendar tahunan UCI.

Menurut Abu Samah, tarikh asal yang didaftarkan telah hampir tiba, manakala tarikh cadangan Human Voyage pula tidak dimaklumkan secara rasmi kepada pihaknya dan ini menggusarkan badan induk sukan berbasikal itu.

“PKBM percaya kejohanan LTdL 2022 tidak boleh diadakan mengikut tarikh asal kerana terlalu suntuk,” katanya.

Abu Samah turut menjelaskan sebagai pemilik LTdL bermula 2007, PKBM boleh menyerahkan penganjuran LTdL 2022 kepada mana-mana pihak, namun tidak bercadang berbuat demikian kerana menghormati KBS.

“Saya sangat berharap menteri turun padang dan memanggil kami untuk memberikan penjelasan. Perkara ini tidak boleh berlarutan tanpa sebarang kata putus,” katanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

623
Kongsi :
Previous post PRN: KIMMA dekati 68,000 pengundi India Muslim di Johor
Next post BN Johor cadang tanding solo – Hasni
Ubah saiz-+=