PKP 2.0: Premis dalam pasar raya pun tak ‘kebal’ – MKN

Masa Membaca:53 Saat

AYER KEROH 15 Jan. – Tiada mana-mana premis di dalam pusat beli belah di negeri ini ‘kebal’ daripada mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Pengarah Keselamatan negeri Majlis Keselamatan Negara (MKN) Melaka, Mohd Nasrul Menhat berkata, beliau yang turun padang dalam tinjauan di sebuah pusat beli belah hari ini mendapati, semua penyewa mematuhi segala SOP ditetapkan MKN.

“Contohnya kedai-kedai pakaian, cermin mata, salon, pusat refleksologi di dalam pusat beli belah ini semua mereka tidak beroperasi kecuali premis yang berada dalam sektor dibenarkan beroperasi.

“Jadi, tidak timbul seperti dakwaan yang tular mengatakan pihak berkuasa ‘pilih bulu’ apabila hanya mengambil tindakan penguatkuasaan SOP kepada premis-premis kecil tetapi membenarkan premis di pasar raya beroperasi,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini di sini hari ini.

Menurutnya, dalam pemantauan kira-kira sejam itu mendapati, semua premis yang dilarang beroperasi semasa pelaksanaan PKP tidak menjalankan peniagaan.

“Premis yang beroperasi antaranya adalah farmasi dan makanan yang hanya dihadkan untuk dibungkus dan tidak dibenarkan makan di dalam restoran sama seperti premis di luar,” katanya.

Views:

730
Kongsi :
Previous post Mohd Redzuan bebas COVID-19
Next post Kerajaan wartakan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 semalam
Ubah saiz-+=