PKP: 70,000 penuntut IPT pulang ke kampung mulai semalam- Noraini

Masa Membaca:2 Minit, 16 Saat

KUALA LUMPUR 8 Mei. – Kira-kira 70,000 daripada 162,414 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang tinggal di kampus pulang ke rumah masing-masing secara berperingkat mulai semalam sempena sambutan Aidilfitri.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, mereka adalah pelajar IPT di universiti awam, institusi pengajian tinggi swasta, politeknik dan kolej komuniti.

Beliau berkata pergerakan mereka berpandukan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat menerusi empat kaedah ditetapkan iaitu menggunakan bas yang diselaras IPT, kenderaan sendiri, dijemput ibu bapa atau menggunakan penerbangan bagi pelajar Sabah.

PELAJAR turut menerima sumbangan makanan untuk bekalan mereka bersahur daripada Noraini.

“Kebenaran pergerakan ini dibuat selepas mendapat kebenaran daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) baru-baru ini,” katanya ketika ditemui semasa melakukan tinjauan pergerakan pulang pelajar di kampus Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini semalam.

“Jadi saya nasihatkan setiap pelajar agar mematuhi SOP sepanjang berada di kampung halaman bersama keluarga dengan memakai pelitup muka, cecair pembasmi kuman dan menjaga penjarakan fizikal,” tambahnya.

PENUNTUT mengamalkan penjarakan fizikal ketika menaiki bas untuk pulang ke kampung. Foto FB Noraini.

Terdahulu, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengumumkan lebih 100,000 pelajar IPT yang kini berada di kampus dibenarkan pulang ke rumah masing-masing bersempena cuti Hari Raya Aidilfitri kecuali bagi Sarawak, dan pergerakan secara berfasa itu ditetapkan dari 7 hingga 12 Mei dari kampus ke kediaman masing-masing manakala tarikh kembali ke kampus bermula 15 hingga 20 Mei.

Sementara itu 7,500 pelajar UKM pulang ke kediaman masing-masing di seluruh negara kecuali Sarawak untuk fasa pertama malam tadi dengan menaiki 19 bas manakala 350 pelajar menaiki 13 bas hari ini (fasa kedua) dan fasa terakhir pada esok seramai 32 orang.

Mengenai prosedur pelajar IPT apabila kembali ke kampus, Noraini berkata mereka perlu menjalani ujian saringan terutama mereka yang dari kawasan berisiko tinggi.

“Sekiranya bergejala dan mencatat bacaan suhu badan tinggi, mereka akan diasingkan dan tidak dibenar pulang ke kampus. Bagi mereka yang tidak bergejala, mereka boleh kembali ke kampus dan meneruskan sesi pengajian,” katanya.

CERIA…sebahagian penuntut UKM yang tidak sabar untuk pulang beraya di kampung. Foto FB Noraini.

Sementara itu Universiti Sains Malaysia (USM) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya membantu menguruskan pengangkutan pulang 2,748 pelajar universiti ke kampung halaman bermula semalam dan hari ini dengan menggunakan 10 bas ke semua negeri di semenanjung Malaysia.

“Perjalanan penghantaran pelajar USM hari ini (malam tadi) membabitkan lapan bas ke semua negeri di semenanjung Malaysia kecuali Terengganu manakala bagi Terengganu penghantaran bermula esok (hari ini) menggunakan buah bas,” menurut kenyataan itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

305
Kongsi :
Previous post PKP: Joging, berbasikal, senaman kini dibenarkan mula hari ini
Next post Korban tak pulang beraya kerana COVID-19
Ubah saiz-+=