Korban tak pulang beraya kerana COVID-19

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

DURIAN TUNGGAL 8 Mei – “Memang sukar tapi saya buat keputusan ini  sebagai jalan terbaik demi keselamatan ibu bapa dan nenek di kampung.”

Demikian kata Muhammad Ikmal Fariz Norazizan, 22, seorang daripada penuntut Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang memilih tidak pulang ke kampung sempena Aidilfitri ini selepas universiti itu menjalankan Op Pulang Hari Raya bermula malam tadi.

Penuntut Fakulti Teknologi Kejuruteraan Teknikal dan Pembuatan itu berkata, dia risau pulang ke kampung kerana tidak mahu mengambil risiko dalam situasi pandemik COVID-19.

“Lagipun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang baru bermula di daerah rumah saya di Kulai, Johor dan kita tidak tahu sekiranya kita ini pembawa virus tersebut.

“Pada awalnya berat juga untuk meminta kebenaran daripada ibu dan ayah, namun selepas saya beri penjelasan, mereka memahami situasi tersebut walaupun ibu agak sedih kerana terlalu rindukan saya.

Muhammad Ikmal

“Tiada persiapan dibuat, pagi raya saya hanya akan pakai baju Melayu lama dan sambut bersama kawan-kawan lain yang tidak pulang ke kampung halaman,” katanya.

Bagi Engku Nur Syumuliyyah Engku Khairu Azman, 20, yang berasal dari Terengganu, dia bersyukur dapat pulang ke kampung dan sudah merancang untuk melakukan kejutan kepada keluarganya.

“Sebelum ini ibu saya kerap hubungi saya dan bertanya sama ada dibenarkan balik atau tidak.

Engku Nur Syumuliyyah

“Apabila program ini diumumkan Kementerian Pengajian Tinggi baru-baru ini, saya berpakat dengan keluarga untuk membuat kejutan kepada ibu saya yang amat mengharapkan kepulangan saya pada Aidilfitri ini,” katanya.

Sementara itu, dalam Op Pulang Hari Raya fasa pertama bermula malam tadi, sebanyak enam bas dilepaskan bagi perjalanan ke Pantai Timur yang telah disempurnakan oleh Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Wira Dr. Raha Abdul Rahim.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, UTeM Prof. Madya Dr Nurulfajar Abd Manap.

Nurulfajar menjelaskan seramai 3,156 pelajar universiti itu telah memohon untuk pulang ke kampung halaman dalam Op Pulang Hari Raya.

Katanya, mereka diberi pilihan sama ada mahu pulang ke kampung atau  kekal berada di kampus sepanjang perayaan Aidilfitri nanti.

“UTeM menyediakan 21 bas bagi tujuan pergerakan pulang pelajar dan dijangka seramai 735 orang yang akan menggunakan perkhidmatan bas yang diselaraskan oleh universiti selain sebahagian lagi dijemput ahli keluarga serta menggunakan pengangkutan udara.

“Perjalanan pulang bermula malam ini (7 Mei) membabitkan pelajar dari Zon Timur menggunakan enam bas dan akan diikuti Zon Tengah, Utara dan Selatan pada 10 Mei nanti,” jelasnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

544
Kongsi :
Previous post PKP: 70,000 penuntut IPT pulang ke kampung mulai semalam- Noraini
Next post Kompleks beli-belah Bandaraya Melaka tersenarai premis berisiko COVID-19
Ubah saiz-+=