PKP Penuh: Melaka sedang perinci bantuan pengayuh beca

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

AYER KEROH 2 Jun – Kerajaan negeri akan memperincikan bantuan untuk pengayuh beca di negeri ini yang hilang punca pendapatan akibat pelaksanaan sekatan pergerakan penuh bermula semalam hingga 14 Jun ini susulan peningkatan mendadak kes COVID-19 di seluruh negara kini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, hakikatnya semua orang terjejas akibat pandemik itu, justeru golongan penarik beca di negeri ini diminta bersabar.

Katanya, kerajaan negeri menerusi Bahagian Promosi Pelancongan di bawah Jabatan Ketua Menteri yang dipengerusikan olehnya, memahami nasib pengayuh beca dan berusaha membantu mereka.

MUHAMMAD JAILANI. Foto fail.

“Sebenarnya, sepanjang pandemik melanda kita memberikan bantuan kepada pengayuh beca tidak kurang empat kali.

“Masing-masing dua kali pada tahun lalu dan tahun ini termasuk sumbangan hari raya serta bantuan kewangan dengan nilai tidak kurang RM2,000 bagi setiap pengayuh beca.

“Insya-Allah, beri saya sedikit masa berbincang dengan Ketua Menteri sekiranya ada ruang kita akan beri bantuan kepada pengayuh beca,” katanya dihubungi Melaka Hari Ini (MHI).

Mengulas lanjut, Muhammad Jailani berkata, keutamaan kini adalah memberi bantuan kit makanan kepada keluarga yang terjejas kerana menjalani perintah kuarantin.

“Kita perlu nilai semula bentuk bantuan (penarik beca) kerana sekarang keutamaan adalah memberi bantuan kit makanan kepada keluarga yang dijangkiti COVID-19 dan terpaksa dikuarantin.

“Jadi ada kejadian seperti keluarga atau individu yang menjalani kuarantin ini tidak dapat makanan dan kita hantar bekalan makanan terus ke rumah mereka,” katanya.

Untuk rekod, seramai 325 pengayuh beca berdaftar di negeri ini kini hilang sumber pendapatan akibat penutupan sektor pelancongan Melaka.

Pada masa sama, beliau menasihatkan kepada rakyat yang terjejas terutama dalam sektor pelancongan yang hilang pendapatan dalam tempoh ini perlu mencari jalan penyelesaian lain bagi meneruskan kelangsungan kehidupan.

“Dalam tempoh ini kita mahu kekalkan penghasilan dalam sektor pelancongan namun disebabkan kita tidak boleh berinteraksi sesama individu menyebabkan sektor ini semakin terkesan jadi pemain industri ini perlu cari kaedah lain bagi menjana pendapatan.

“Kita cuba bertahan dan ambil langkah bagaimana untuk pertahankan lagi dalam perkara ini dan berharap perlu sama sama berdoa agar kita kuat dan tabah bagi menempuh cabaran COVID-19,” katanya.

Beliau turut menegaskan peningkatan kes agak tinggi di Melaka iaitu 200 hingga 300 kes sehari perlu diberi perhatian oleh rakyat untuk patuh kepada prosedur operasi standard ditetapkan pihak berkuasa termasuk Kementerian Kesihatan bagi melandaikan lengkuk pandemik.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

691
Kongsi :
Previous post Agong zahir takziah kepada keluarga Lim Kok Wing
Next post Polis Melaka tumpaskan sindiket dadah, rampas syabu dan ekstasi RM7.2 juta
Ubah saiz-+=