Polis Melaka tumpaskan sindiket dadah, rampas syabu dan ekstasi RM7.2 juta

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

AYER KEROH 2 Jun – Polis Melaka menumpaskan satu lagi sindiket penyeludupan dadah antarabangsa hasil penahanan enam individu termasuk seorang wanita serta merampas dadah syabu dan ekstasi bernilai RM7.2 juta di Pantai Klebang, di sini kelmarin.

Kejayaan itu hasil serbuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri dengan dibantu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan menahan suspek berusia 25 hingga 52 tahun berhampiran sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Harrier pada jam 12.15 tengah malam.

Ketua Polis negeri Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, dalam serbuan itu polis menemukan dadah disyaki syabu seberat 83.08 kilogram dan 59.14 kilogram pil ekstasi, keseluruhannya dianggarkan bernilai RM7.2 juta dan juga terbesar JSJN tahun ini.

Katanya, semua dadah berkenaan disorokkan di tempat duduk belakang SUV terbabit manakala keenam-enam individu berkenaan ditahan berhampiran kereta berkenaan.

ABDUL MAJID menunjukkan lokasi dadah disorokkan di dalam kenderaan SUV.

“Siasatan awal mendapati sindiket berkenaan dipercayai sedang menunggu pembekal dari luar untuk menyeludup dadah terbabit ke pasaran antarabangsa menerusi jalan laut.

“Sindiket ini dipercayai aktif melakukan kegiatan jenayah itu sejak tiga bulan lalu dan menjadikan negeri ini sebagai transit kegiatan penyeludupan dadah antarabangsa, bagaimanapun sumber dan destinasi utama pengedaran dadah terbabit masih dalam siasatan.

“Keenam-enam individu terbabit mengaburi pihak berkuasa dengan memalsukan borang kebenaran rentas negeri Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan surat kebenaran bekerja daripada majikan bagi melakukan aktiviti rentas daerah dan negeri,” katanya pada sidang media di Mes Pegawai Kanan IPK di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner Razali Abu Samah dan Ketua JSJN negeri, Superintendan Zulkiflee Rashid.

Mengulas lanjut, Abdul Majid berkata, keseluruhan dadah dirampas itu boleh digunakan 368,000 penagih jika terlepas di pasaran.

Katanya, dalam serbuan itu polis merampas SUV terbabit dan kereta jenis Toyota Altis serta wang tunai RM860, jam tangan bernilai RM4,000 dan barang kemas bernilai RM1,218.

“Ujian saringan air kencing mendapati semua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai rekod lampau sekurang-kurangnya lima kes bagi setiap seorang membabitkan jenayah dan dadah.

“Semua suspek direman tujuh hari bermula semalam untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

662
Kongsi :
Previous post PKP Penuh: Melaka sedang perinci bantuan pengayuh beca
Next post Program Penjana KP CAP @ State fokus anak Melaka tiada pekerjaan
Ubah saiz-+=