PKP penuh: Pejabat KWSP negeri beroperasi seperti biasa ‘di saat akhir’

Masa Membaca:2 Minit, 8 Saat

AYER KEROH 31 Mei – Perkhidmatan kaunter di Pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Melaka beroperasi seperti biasa hari ini tanpa kehadiran luar biasa pelanggan biarpun akan ditutup 14 hari bermula esok susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh.

Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) mendapati kehadiran orang ramai berurusan di pejabat itu berada dalam keadaan terkawal dan tidak bersesak sehinggakan terpaksa berbaris panjang seperti berlaku sebelum ini.

Malah, kemasukan orang ramai ke bangunan itu dilihat lebih sistematik dengan pembahagian lorong laluan pelbagai jenis pengurusan serta ruangan menunggu dengan penjarakan satu meter di khemah yang disediakan di luar bangunan itu.

Seorang pengunjung, Aimi Nadia Hasbullah, 33, berkata, dia yang hadir awal di pejabat itu bagi urusan perkhidmatan di kaunter berpuas hati dengan perkhidmatan yang ditawarkan agensi itu.

AIMI NADIA.

Menurutnya, bilangan pelanggan tidak begitu ramai membuatkan urusannya bagi mendapatkan penyata akaunnya di KWSP selesai dalam masa 15 minit sahaja.

“Memang saya rancang datang awal pagi ini kerana menjangkakan orang ramai akan bersesak hadir kerana pejabat cawangan KWSP di seluruh negara akan ditutup dua minggu mulai esok.

“Namun, saya lega kerana keadaan sebaliknya apabila sampai di pekarangan pejabat ini, bilangan pengunjung tidak begitu ramai.

“Alhamdulillah setiap urusan di sini telah diselesaikan dan perkhidmatan yang diberi setakat ini memuaskan,” katanya yang menetap di Alor Gajah.

MOHD NORAZRI

Sementara itu, seorang pekerja swasta, Mohd Norazri Mohd Hafiz Jarau, 18, turut lega apabila kehadiran orang ramai untuk berurusan di pejabat KWSP seperti biasa biarpun di saat akhir penutupan sementara operasinya esok.

“Alhamdulillah, segala urusan dah diselesaikan selepas membuka akaun KWSP hari ini. Saya diminta oleh majikan untuk segera pergi ke KWSP hari ini sebab mulai esok semua pejabat cawangan KWSP akan ditutup sementara selama 14 hari.

“Saya baru bekerja sebulan jadi pembukaan akaun ini amat penting bagi saya dan berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan hari ini.

“Demi keselamatan orang ramai saya lihat prosedur operasi standard (SOP) dibuat agak ketat dengan membenarkan lima orang saja masuk ke bangunan ini dari semasa ke semasa untuk urusan masing-masing,” katanya.

Terdahulu, KWSP mengumumkan akan menutup pejabat dan kaunter perkhidmatannya di seluruh negara bermula 1 hingga 14 Jun ini selaras dengan pelaksanaan fasa pertama sekatan pergerakan penuh.

Sehubungan itu, semua sesi janji temu yang dibuat melalui saluran Janji Temu Online (JTO) dalam tempoh berkenaan akan dibatalkan dan orang ramai disaran membuat janji temu baharu selepas tempoh sekatan pergerakan penuh berakhir jika ada keperluan untuk hadir di cawangan KWSP.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

876
Kongsi :
Previous post MBAM minta kerajaan beri sokongan ekonomi segera
Next post Cubaan jatuhkan imej pemimpin PAS, angkara cemburu – Kamarudin
Ubah saiz-+=