Cubaan jatuhkan imej pemimpin PAS, angkara cemburu – Kamarudin

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

AYER KEROH 31 Mei – PAS Melaka tidak menolak faktor cemburu antara sebab pemimpin parti itu sering menjadi mangsa ‘serangan’ di media sosial sejak akhir-akhir ini.

Pesuruhjaya PAS Melaka, Datuk Kamarudin Sidek berkata, pencapaian pemimpin PAS yang cemerlang selain tidak terbabit dengan sebarang isu negatif membuatkan ada segelintir pihak tidak berpuas hati dan cuba menjatuhkan imej parti itu.

Mengambil contoh isu yang terpalit ke atas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali yang dikaitkan dengan bekas isteri seorang pelakon baru-baru ini, beliau berkata, kepimpinan PAS akan mempertahankan Khairuddin selagi mana tiada bukti mengesahkan isu berkenaan.

“Sebelum ini, kita tahu ada serangan ke atas Tan Sri Annuar Musa yang digosipkan dengan artis dan sekarang Datuk Khairuddin pula yang dikaitkan, sedangkan kita tahu prestasinya sebagai menteri agak baik dengan kenaikan harga sawit yang tinggi.

“Cuma bila berlaku satu isu yang digembar-gemburkan seperti ini, kita tak tahu ketulenannya dan saya juga tidak boleh ulas panjang kerana kedua-dua pihak sudah membuat penafian, jadi, kita serahkan semuanya kepada siasatan polis.

“Bagi PAS, kita menggunakan konsep akan mempertahankan selagi mana kebenaran dan kita tetap ‘steady’, selagi dia tidak dibuktikan bersalah, kita tidak boleh tuduh dia bersalah,” katanya dalam satu sidang media khas di Seri Negeri.

Dalam sidang media sama, PAS Melaka turut mengutuk tindakan Pengerusi Pro-Keadilan Sarawak, Iswardy Morni yang secara terang-terangan membuat satu penghinaan ke atas Yang di-Pertuan Agong dalam video siaran langsungnya.

Beliau bersama kepimpinan PAS Melaka menggesa satu siasatan menyeluruh dan tegas dikenakan ke atas Iswardy bersama-sama dalang di belakangnya.

“PAS Melaka juga menuntut agar dibuka semula kertas siasatan atau dibuka semula kes seumpama yang pernah terjadi dalam negara dalam usaha menjaga kemuliaan institusi beraja di negara ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

442
Kongsi :
Previous post PKP penuh: Pejabat KWSP negeri beroperasi seperti biasa ‘di saat akhir’
Next post UTC Melaka tutup sepanjang PKP Penuh
Ubah saiz-+=