PKPD di UTM Skudai mulai Jumaat ini – Ismail Sabri

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

KUALA LUMPUR, 19 Mei – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor mulai Jumaat (21 Mei) hingga 3 Jun, demikian menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ini berikutan sebanyak 49 kes positif COVID-19 telah direkodkan setakat ini hasil daripada 346 ujian saringan yang dijalankan ke atas penghuni Kolej Datin Seri Endon, Kolej Tun Hussein Onn, Kolej Tun Dr Ismail, Kolej 9 dan 10 serta Pusat Kesihatan.

“Kementerian Kesihatan KKM juga melaporkan kadar positiviti yang tinggi iaitu 14.2 peratus serta taburan kes positif serta kontak rapat telah menular di beberapa kolej lain.

“Pelaksanaan PKPD ini adalah untuk memudahkan KKM menjalankan pengesanan awal kes COVID-19 supaya dapat diasingkan secepat mungkin serta menyekat penularan jangkitan ke kawasan luar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan PKPD di Kampung Permatang Tulang Mukim Sebatu, Jasin, Melaka; Kampung Lubok Katak, Tapah, Perak; dan SMK Madai, Kunak, Sabah akan ditamatkan esok selepas baki kes aktif di lokaliti itu menunjukkan trend penurunan.

Mengenai operasi pasukan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), seramai 513 individu ditahan kerana ingkar SOP PKP semalam, dengan 484 daripadanya dikenakan kompaun manakala 29 lagi direman.

Antara kesalahan direkodkan termasuk tidak memakai pelitup muka melibatkan 185 individu, gagal merekod butiran diri atau daftar masuk premis (105), tiada penjarakan fizikal (79), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (57), aktiviti perjudian (12), aktiviti pusat hiburan (lima), rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran (lima) dan 65 lagi atas kesalahan lain.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

834
Kongsi :
Previous post Suasana hiba iringi pengekebumian dua sahabat lemas
Next post Cuba rayu bantuan khas buat pesawah terjejas banjir- Norhizam
Ubah saiz-+=