PKRC awam pertama di Melaka dibuka di MITC

Masa Membaca:2 Minit, 13 Saat

AYER KEROH 19 Mei – Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) awam pertama diaktifkan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Jumaat ini bagi menempatkan pesakit COVID-19 bergejala ringan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, pembukaaan pusat berkenaan sekali gus menjadikan ia PKRC yang keenam secara keseluruhannya di Melaka.

Lima PKRC sedia ada adalah Asrama Jururawat Hospital Melaka; Penjara Sungai Udang, Penjara Koreksional Jasin (PKJ); Depot Tahanan Imigresen Machap Umboo dan PKRC Henry Gurney.

SULAIMAN bersama Hasim (dua dari kiri) melihat kemudahan katil yang disediakan di dewan kuarantin yang menempatkan lebih 1,000 katil pesakit COVID-19 di PKRC MITC. Foto : MR. Azli

Beliau berkata, pusat berkenaan itu akan menampung jumlah pesakit bergejala ringan dari negeri ini sahaja dengan penyediaan katil sebanyak 1,000 hingga 1,200 unit.

“Menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), kita telah bersetuju untuk membuka PKRC awam di MITC bagi pesakit kategori 1 dan kategori 2.

“PKRC ini dijangka akan menerima pesakit seawal pada hari Jumaat ini (21 Mei) yang terdiri daripada pesakit dari negeri ini sahaja.

“Pembukaan PKRC itu susulan berlakunya kesesakan di PKRC MAEPS, Serdang akibat peningkatan kes mendadak di Selangor dan Kuala Lumpur.

“Bagi pesakit dari negeri ini seramai 285 orang yang sedang dirawat di MAEPS, Serdang kekal menerima rawatan di sana, manakala PKRC ini menempatkan pesakit baharu,” katanya pada sidang media selepas melawat PKRC berkenaan di sini hari ini.

SULAIMAN mengadakan sidang media selepas melawat PKRC MITC di Ayer Keroh. Foto : MR. Azli

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Hasim Hasan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kira-kira 500 petugas barisan hadapan termasuk 200 daripadanya terdiri daripada kakitangan KKM akan ditempatkan di PKRC berkenaan.

Jelasnya, persiapan sedang giat dijalankan sebelum menerima pesakit termasuk menyediakan kelengkapan katil serta penghantaran kelengkapan perubatan daripada Kementerian Kesihatan(KKM).

PENYELIA Jururawat Hospital Melaka, Tan Kah Hong melakukan persediaan dewan kuarantin di PKRC MIT. Foto : MR. Azli

“PKRC ini menggunakan ruang dewan A dan B dengan penggunaan katil ‘single’ dan ‘double’ bagi kapasiti maksimum mencecah 2,000 pesakit secara maksimum.

“Ia turut dilengkapi lapan tandas bagi setiap ruang dewan bagi keselesaan pesakit,” katanya.

Untuk rekod, setakat ini jumlah kapasiti katil di Hospital Melaka bagi rawatan pesakit COVID-19 mencecah 63 peratus manakala jumlah katil bagi pesakit sama di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan mencapai kapasiti maksimum.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1295
Kongsi :
Previous post PKP penuh: Selangor bukan negeri parah- Dr Dzulkefly
Next post Kanak-kanak 11 tahun korban lemas ketiga di Melaka
Ubah saiz-+=