PM Muhyiddin tiup semangat Harimau Malaya

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

KUALA LUMPUR 19 Mei. – Skuad Harimau Malaya menerima tonik berharga menerusi kata-kata semangat daripada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum turun berjuang dalam misi penting pada pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) bulan depan.

Muhyiddin menerusi catatan di laman Facebook hari ini, percaya skuad kebangsaan kendalian Tan Cheng Hoe itu memiliki segala kebolehan dan ramuan untuk melakar kejayaan pada baki saingan kelayakan berkenaan yang diadakan secara berpusat di Dubai.

Perdana menteri berkata seperti juga peminat bola sepak tanah air lain, beliau turut teruja menunggu aksi Harimau Malaya dan mengikuti rapat perkembangan skuad bola sepak kebangsaan dalam kempen kelayakan mereka kali ini.

TAN Cheng Hoe ketika mengendalikan latihan skuad Harimau Malaya. Foto FAM.

“Harapan saya, begitu juga seluruh rakyat Malaysia, bermainlah dengan sepenuh hati. Insya-Allah, Harimau Malaya mampu mengaum megah dan melakar sejarah.

“Selain aksi di atas padang, saya juga ingin berpesan agar jagalah kesihatan dan keselamatan masing-masing. Semoga Jalur Gemilang berkibar megah dan anda semua kembali ke tanah air dengan selamat. Ayuh, Harimau Malaya, berjuanglah demi Malaysia!,” kata perdana menteri.

BARISAN skuad Harimau Malaya punya misi penting pada pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) bulan depan. Foto FAM.

Skuad Harimau Malaya dijangka berlepas ke UAE esok (20 Mei) bagi meneruskan sesi latihan intensif sebelum berdepan UAE pada 3 Jun, diikuti Vietnam (11 Jun) dan menamatkan saingan peringkat kumpulan berdepan Thailand pada 15 Jun.

Pasukan negara akan menghadapi dua perlawanan persahabatan menentang Kuwait di UAE pada Ahad ini (23 Mei) diikuti Bahrain di Manama pada 28 Mei, sebelum memulakan kempen kelayakan tersebut.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1767
Kongsi :
Previous post Ketua Menteri arah agensi bencana salur bantuan kepada mangsa banjir
Next post Tragedi mandi sungai
Ubah saiz-+=