Ketua Menteri arah agensi bencana salur bantuan kepada mangsa banjir

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

AYER MOLEK 19 Mei. – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali mengarahkan agensi berkaitan menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di negeri ini.

Beliau berkata, bencana banjir yang berlaku adalah fenomena alam yang tidak dapat dielak sekali gus memberi kesan terhadap penempatan penduduk yang berhampiran sungai.

SULAIMAN diberi taklimat oleh petugas keselamatan bertugas mengenai mangsa banjir yang ditempatkan di PPS SK Ayer Molek.

“Bagi pihak kerajaan negeri, saya berharap penduduk yang terjejas supaya dapat bersabar menghadapi musibah ini.

“Pelbagai agensi kerajaan yang terlibat sudah dikerah untuk segera membantu mangsa banjir yang terjejas,” katanya selepas melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Molek di sini, hari ini.

SULAIMAN meredah banjir untuk meninjau keadaan mangsa banjir di Ayer Molek.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman dan Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya, Mohd Ridhwan Mohd Ali.

Dalam lawatan itu, beliau meluangkan masa mendengar taklimat daripada petugas keselamatan bertugas memaklumkan seramai 185 mangsa banjir membabitkan 44 keluarga ditempatkan di pusat berkenaan.

SEORANG mangsa banjir menerima bantuan kit makanan disampaikan Sulaiman.

Selain bertanyakan khabar, beliau turut menzahirkan sokongan serta menyampaikan bantuan kit makanan kepada mangsa bencana.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

471
Kongsi :
Previous post Pesawah rugi RM150,000 akibat banjir
Next post PM Muhyiddin tiup semangat Harimau Malaya
Ubah saiz-+=