Pesawah rugi RM150,000 akibat banjir

Masa Membaca:2 Minit, 25 Saat

PANTAI KUNDOR 19 Mei. – Seramai 20 pesawah di Kampung Paya Luboh dan Seberang Gajah kerugian RM150,000 apabila sawah mereka seluas kira-kira 60 hektar yang baharu disemai dengan anak benih padi musnah dalam kejadian banjir pada Ahad lalu.

Air bah naik setinggi kira-kira 0.9 meter mulai jam 7 pagi Ahad dan surut mulai petang semalam merosakkan anak padi yang baru berusia tiga minggu.

Pesawah mendakwa, bencana alam itu adalah yang terburuk sejak lebih tujuh tahun lalu dan menyebabkan mereka terpaksa mengeluarkan kos lebih tinggi untuk memulakan semula proses penanaman padi.

PESAWAH di Kampung Paya Luboh, Tanjung Kling berbincang mengenai sistem pengairan sawah mereka.

Suhaimi Mustafa, 62, berkata beliau kerugian kira-kira RM30,000 selepas benih padi yang ditabur tiga minggu lalu dihanyutkan air manakala benih yang sudah bercambah, mati akibat terendam.

“Kos untuk mesin (membajak) tanah kering, tanah basah, membaja, menyemai dan meracun bagi setiap 0.4 hektar sawah adalah RM1,000 dan ia bermakna saya kerugian RM30,000 bagi keseluruhan 12 hektar sawah.

“Hujan lebat sejak jam 5 pagi Ahad lalu menyebabkan air mula naik ke sawah pada jam 7.30 pagi kerana sistem pengairan dan saliran di sekeliling sawah sudah banyak yang rosak,” katanya ketika ditemui di sawahnya di Kampung Paya Luboh, hari ini.

SUHAIMI.

Beliau berkata, sebelum ini hujan lebat tidak pernah menyebabkan banjir seteruk kali ini dan ia dipercayai berpunca daripada kebanyakan tali air dipenuhi kelodak lumpur.

Hanafi Zainal, 49, berkata dia kerugian RM3,000 selepas sawahnya seluas 1.2 hektar ditenggelami banjir.

“Saya dan pesawah lain tidak mampu berbuat apa-apa selain terpaksa membiarkan sahaja benih yang ditabur tiga minggu lalu rosak teruk dan tidak mampu digunakan lagi,” katanya di Kampung Seberang Gajah.

Walaupun terpaksa menerima hakikat hujan lebat sebagai faktor utama banjir, pesawah tetap meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meneliti semula sistem berkenaan di sawah mereka.

Baharudin Samad, 72, berkata sistem pengairan dan saliran yang sempurna membantu kejayaan penanaman padi dua kali setahun di kawasan terbabit.

HANAFI.

Sementara itu, Pengarah JPS negeri, Abdul Hakim Hamzah berkata, penelitian pegawai JPS di kawasan berkenaan mendapati hujan lebat menyebabkan sawah dipenuhi air manakala paras sungai berhampiran sawah meningkat.

“Ia menyebabkan air dari sawah tidak mampu mengalir ke sungai dan bertakung dalam sawah yang mengakibatkan benih padi rosak.

“JPS akan meneliti sistem pengairan dan saliran sawah di kawasan berkenaan bagi meningkatkan kemampuannya dalam membantu industri padi,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor Datuk Nor Azman Hassan berkata, beliau amat bersimpati dengan nasib pesawah terbabit dan meminta Jabatan Pertanian menyediakan bantuan untuk mereka.

“Banjir menyebabkan sawah mereka tidak menjadi pada kali ini tetapi saya minta mereka tidak berputus asa kerana ini adalah ujian atas usaha kita mencari rezeki,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

407
Kongsi :
Previous post Redah jalan berlumpur, selamatkan 35 lembu tidak makan dua hari di ladang
Next post Ketua Menteri arah agensi bencana salur bantuan kepada mangsa banjir
Ubah saiz-+=