Redah jalan berlumpur, selamatkan 35 lembu tidak makan dua hari di ladang

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

PANTAI KUNDOR 19 Mei. – Dua penternak lembu menarik nafas lega selepas mendapati 35 lembu peliharaan mereka masih dalam keadaan baik walaupun tidak makan dua hari akibat banjir di Kampung Paya Rumput, Tanjung Kling di sini.

Mohamad Abdul Rahman, 59, dan rakan kongsinya, Mohd Anuar Sulaiman, 40, berjaya memastikan haiwan ternakannya mendapat makanan selepas memohon bantuan kecemasan daripada pemimpin tempatan.

Mohamad berkata, hujan lebat mulai jam 5 pagi Ahad lalu menyebabkan laluan masuk ke kandang lembunya kira-kira dua kilometer dari kediamannya tidak boleh dilalui kenderaan.

MOHAMAD (kiri) dan Mohd Anuar Sulaiman memberi makan kepada 35 lembu yang kelaparan akibat tidak makan selama dua hari berikutan laluan masuk ke ladang ternakan mereka dinaiki air.

“Sejak memulakan penternakan lembu tiga tahun lalu, kami jarang memberi makanan palet kepada lembu, sebaliknya beri rumput napier dan melepaskannya ke dalam kebun getah dan kelapa sawit.

“Oleh sebab kawasan ini dilanda banjir sejak pagi Ahad lalu, kami tidak dapat masuk ke ladang untuk memberi lembu makan,” katanya ketika ditemui di ladang ternakan lembunya di Kampung Paya Rumput hari ini.

Menurutnya, berikutan itu mereka terpaksa meminta bantuan makanan lembu daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan yang menghantar lima guni palet setiap satu seberat 50 kilogram ke ladang itu, petang semalam.

Sementara itu, Mohd Anuar berkata, mereka berdua meredah laluan berlumpur ke ladang apabila air bah mulai surut pada jam 4 petang semalam.

MOHD Anuar Sulaiman.

“Paras air turun kepada 0.3 meter petang semalam berbanding kira-kira satu meter pada Ahad lalu dan ia membolehkan kami membawa makanan ke kandang.

“Kami amat bimbang jika ternakan terlalu lama dalam banjir, akan menyebabkan lembu diserang penyakit kuku dan mulut,” katanya yang bersyukur kerana ternakan mereka terselamat daripada bahaya dan makan dengan amat berselera sebaik diberikan palet.

Katanya, banjir kali ini adalah yang terburuk sejak tujuh tahun lalu berikutan sungai berhampiran ladang berkenaan tidak mampu menampung pertambahan air ketika hujan lebat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

723
Kongsi :
Previous post PKPD Kampung Permatang Tulang Mukim Sebatu, tamat esok
Next post Pesawah rugi RM150,000 akibat banjir
Ubah saiz-+=