PM pantau agihan bayaran BKC Fasa 1

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

PUTRAJAYA 6 Sept – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meninjau sendiri secara dalam talian proses pembayaran Bantuan Khas COVID-19 (BKC) Fasa 1 yang dikreditkan kepada 10 juta penerima bermula hari ini.

Beliau meminta supaya Kementerian Kewangan memastikan kelancaran proses pengagihan BKC khususnya penerima yang berada di kawasan pedalaman, jauh daripada akses perbankan dan tidak memiliki akaun bank.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, data Kementerian Kewangan menunjukkan terdapat kira-kira 708,223 penerima BKC yang tidak mempunyai akaun bank.

“Justeru, Perdana Menteri mahu baucar tunai yang disediakan Kementerian Kewangan sampai ke tangan penerima terlibat tanpa sebarang kelewatan.

“Pada sesi itu, Perdana Menteri turut mengambil peluang berinteraksi dengan penerima BKC di beberapa cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) iaitu di Putrajaya, Sabah, Sarawak, Kelantan, Pahang, Perlis, dan Johor,” kata kenyataan itu, hari ini.

Dalam tinjauan itu, Ismail Sabri turut mendapatkan laporan secara langsung daripada Menteri Kewangan Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Aziz yang turun padang dan meninjau sendiri proses pembayaran di BSN Putrajaya.

Beliau juga menerima maklum balas proses pengagihan BKC daripada Timbalan Menteri Kewangan I, Mohd Shahar Abdullah yang meninjau proses pembayaran di BSN Triang, Bera, Pahang.

Ismail Sabri berharap agar bantuan itu dapat meringankan beban Keluarga Malaysia yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

323
Kongsi :
Previous post Kayuh kayak jejak ‘rumah ikan’
Next post Jangan jual kit ujian COVID-19 lebih RM19.90 di Melaka
Ubah saiz-+=