PM rasmi JAKM Melaka bertemakan ‘K.A.S.I.H Keluarga Malaysia: Sejahtera Bersama’

Masa Membaca:3 Minit, 7 Saat

AYER KEROH 14 Oktober – Perdana Menteri Datuk Seri Utama Ismail Sabri Yaakob merasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) Negeri Melaka, hari ini.

Bertemakan ‘K.A.S.I.H Keluarga Malaysia: Sejahtera Bersama’, jelajah edisi ke-11 yang diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) itu dihadiri ribuan pengunjung.

Majlis turut disempurnakan dengan kehadiran Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali serta kepimpinan tertinggi Kerajaan Persekutuan dan Negeri.

Pada majlis perasmian itu, Perdana Menteri menyampaikan sumbangan Yayasan Keluarga Malaysia (YKN) kepada 15 anak Keluarga Malaysia mewakili 43 penerima Bantuan YKN yang kehilangan ibu atau bapa, atau penjaga, atau kedua-keduanya akibat COVID-19, kemalangan atau bencana.

Bantuan sebanyak RM1,000 atau RM1,500 seorang diberikan kepada mereka yang berusia sejak lahir sehingga 18 tahun, atau sehingga tamat pengajian ijazah pertama, mengikut kategori umur masing-masing.

Selain itu, Perdana Menteri turut mengadakan lawatan ke reruai (booth) yang mengambil bahagian selain turut berpeluang menyantuni dan pengunjung yang hadir.

Untuk rekod, JAKM Melaka diadakan selama tiga hari bermula hari ini hingga Ahad (16 Oktober 2022).

Sebanyak 29 reruai kaunter perkhidmatan mengambil bahagian pada jelajah kali ini melibatkan pelbagai Kementerian, agensi Kerajaan Persekutuan dan agensi Kerajaan Negeri.

Antara yang menarik ialah penerangan dan tawaran perkhidmatan langsung Kerajaan kepada rakyat, khidmat nasihat dan sesi bimbingan usahawan serta pemberian bantuan.

Segmen pameran turut membawakan Kapsul Keluarga Malaysia yang memaparkan maklumat berkaitan pencapaian serta perancangan pelbagai program utama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

Sebanyak 13 kaunter perkhidmatan bergerak turut disediakan antaranya daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ Mobile), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Klinik Bergerak Pergigian, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Pejabat Daerah Tanah Melaka Tengah (SUK Melaka) dan lain-lain dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan.

Selain itu, sebanyak 118 gerai jualan usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), 20 gerai Citarasa Keluarga Malaysia, 10 trak jualan makanan (food truck) dan 12 reruai Jualan Keluarga Malaysia yang menawarkan barangan keperluan dengan harga lebih rendah juga mengambil bahagian pada siri jelajah kali ini.

Turut diadakan, program Padanan Perniagaan (Business Matching) yang melibatkan 10 syarikat pasaran tempatan, e-dagang, logistik, peruncitan dan koperasi turut membuka peluang perkembangan perniagaan dan khidmat nasihat secara percuma kepada usahawan tempatan.

Program yang menjadi elemen wajib di semua siri jelajah turut dilaksanakan di JAKM iaitu Kenduri Keluarga Malaysia yang disertai oleh Perdana Menteri bersama-sama masyarakat setempat.

Program lain antaranya Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia dengan 42 majikan dan 5,259 kekosongan jawatan, seminar percuma yang melibatkan pelbagai topik menarik, demonstrasi oleh Kementerian dan agensi, persembahan kebudayaan, sukan rakyat, kejohanan e-sukan (e-sports), Pertandingan Bintang Patriotik serta banyak lagi program yang bersesuaian dengan pelbagai peringkat umur.

Pengunjung yang berdaftar turut berpeluang memenangi hadiah-hadiah menarik melalui cabutan bertuah yang diadakan sepanjang program berlangsung.

JAKM kali ini turut membawa kelainan dan tarikan kepada pengunjung melalui Majlis Zikir Berkah Melaka Berselawat dan Malam Kesenian Islam yang membawa kumpulan AWLA (Saujana/ Nowseeheart), UNIC dan penampilan istimewa Ustazah Farhatul Faizurah (Johan Qariah Tilawah Al-Quran Antarabangsa).

Selain itu, turut diadakan program di luar tapak acara (outreach) antaranya Fun Ride Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia, Program Kasih Keluarga, Ziarah Kasih PDK@JAKM, Ceria Malaysia, Program 10,000 Langkah Aspirasi Keluarga Malaysia, Jelajah Kaunseling Prihatin Rakyat & Jelajah Kaunseling PSS Keluarga Malaysia YKN dan banyak lagi.

Pada siri jelajah kali ini juga terdapat pengurangan kadar kompaun saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga 50% bagi kesalahan-kesalahan yang terpilih. Para pengunjung boleh membuat pembayaran secara terus di reruai (booth) PDRM yang dibuka sepanjang tiga hari.

Bagi memberikan kemudahan dan keselesaan kepada pengunjung, perkhidmatan bas perantara (shuttle bus) percuma disediakan dari tiga lokasi iaitu Stadium Tun Fatimah, Bukit Serindit, AEON Ayer Keroh dan Dataran Bersejarah Ayer Keroh ke tapak acara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2233
Kongsi :
Previous post Mandat rakyat penawar ampuh kestabilan negara – PM
Next post Khairy sedia cadangan kesihatan untuk pertimbangan BN dalam manifesto
Ubah saiz-+=