Polis keluarkan lebih 1,000 permit kempen PRU15, tahan tiga individu

KUALA LUMPUR, 10 Nov – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan sebanyak 1,301 permit bagi mengadakan ceramah sepanjang kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) setakat semalam.

Pengarah Operasi PRU15 PDRM Datuk Seri Hazani Ghazali berkata daripada jumlah itu, 344 permit dikeluarkan di Sabah, Sarawak (215), Selangor (119), Kedah (107), Perak (102), Johor (86), Pahang (81), Negeri Sembilan (72), Kelantan (57), Pulau Pinang (45), Melaka (35), Perlis (17), Kuala Lumpur (11) dan Terengganu (10).

Beliau berkata pada masa sama, PDRM mengesan lapan ceramah yang tidak memiliki permit iaitu lima di Kedah, Perak (dua) dan Pahang (satu).

Mengenai kesalahan berkaitan PRU15, Hazani berkata di Johor, seorang lelaki warga tempatan ditahan ketika sedang membakar bendera parti politik di Jalan Penyiaran 2, Taman Universiti Skudai dan kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan (KK) iaitu khianat dengan api.

Hazani berkata kes kedua di Selangor melibatkan seorang lelaki warga tempatan dikesan meminta wang perlindungan sebanyak RM2,500 jika ada pihak yang mahu mendirikan khemah dan mahu berkempen di sekitar Petaling Jaya.

“Suspek turut mengugut, jika wang tidak dibayar, dia akan membawa konco-konconya untuk membuat kacau di khemah berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes ketiga di Pulau Pinang, melibatkan seorang lelaki ditahan kerana disyaki menumbuk mata kanan seorang lelaki lain ketika sedang memasang bendera Barisan Nasional di kawasan Seberang Perai Tengah.

“Mangsa dimarahi suspek dan berlaku pertengkaran sebelum ditumbuk jiran rumah sebelah dan mengugut untuk memanggil konco-konconya.

“Selepas kejadian itu, mangsa beredar dan membuat laporan polis di balai polis berhampiran,” katanya sambil menambah kes itu disiasat di bawah Seksyen 323 KK kerana dengan sengaja mendatangkan cedera.

Selain itu, PDRM turut membuka 21 kertas siasatan di seluruh negara melibatkan pelbagai kesalahan PRU15 antaranya di Sarawak, Pahang dan Perak dan kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat.

Di SARAWAK, bertempat di Lubok Antu, sebanyak 23 tiang bendera Perikatan Nasional yang digantung di Jambatan Pekan Lubok Antu telah dipatahkan individu tidak dikenali.

Di PAHANG, di Jalan Besar dan Jalan Mahkota, Kuantan, beberapa poster kempen pilihan raya Pakatan Harapan (PH) yang memaparkan gambar calon Parlimen Kuantan iaitu Fuziah Salleh dan calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chan Chun Kuang dan calon ADUN Teruntum Sim Chong Siang telah ditampal dengan pelekat logo Save Malaysia Stop Lynas.

Di PERAK, gambar kain rentang PH telah dikoyakkan individu tidak dikenali di Muallim.

Sementara itu, di MELAKA, seorang lelaki ditahan kerana disyaki menimbulkan kekecohan dalam satu mesyuarat parti politik di daerah Melaka Tengah di sini, malam semalam.

Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata dalam kejadian pada kira-kira 10 malam, individu berusia lingkungan 50-an itu telah bertindak menterbalikkan meja, kerusi dan mengoyakkan kain rentang selain mengancam untuk memukul pengerusi mesyuarat.

“Suspek ditahan untuk siasatan lanjut dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 427/506 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan ugutan jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

— BERNAMA

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

269
Previous post Semangat Ahmad Zahid iringi perjuangan jentera BN Hang Tuah Jaya
Next post MetMalaysia keluar amaran hujan berterusan tahap buruk waspada