Polis kesan individu terlibat video tular keluarkan kepala melalui ‘sunroof’ MPV

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

IPOH, 3 Mac – Polis berjaya mengesan pemandu dan penumpang berhubung video tular dua kanak-kanak mengeluarkan kepalanya melalui bumbung matahari (sunroof) dalam media sosial, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata pihaknya mengesan dua rakaman video berdurasi 29 saat dan 9 saat berkenaan, yang dimuat naik di laman Facebook Malaysia Automotive Shiftposting semalam.

Beliau berkata rakaman video itu, memaparkan pemandu MPV bersikap cuai terhadap keselamatan kanak-kanak, dengan membenarkan mereka mengeluarkan kepala melalui bumbung matahari kenderaan berkenaan, dalam kejadian yang berlaku di Jalan Sultan Idris Shah itu.

“Hasil siastan awal juga mendapati, kejadian berlaku pada 1 Mac lalu sekitar jam 10.40 malam dan kes disiasat mengikut Seksyen 336, iaitu atas perbuatan cuai sehingga membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain termasuk Seksyen 31 (1) (A) Akta Kanak-kanak 2001, kerana mendedahkan kanak-kanak dengan dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yahaya berkata ketika kejadian, ibu kepada kanak-kanak berusia 16 dan 13 tahun berada dalam kenderaan, yang dipandu saudara mereka.

Beliau juga meminta pihak yang melakukan rakaman video itu, tampil ke hadapan membuat laporan polis untuk siasatan lanjut.

“Saya juga menasihatkan pengguna jalan raya supaya tidak melakukan tindakan membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain,” katanya.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1562
Kongsi :
Previous post Mangsa banjir dipindahkan ke pusat pemindahan di Melaka meningkat lagi
Next post Jari kelingking membengkak, cincin tersangkut
Ubah saiz-+=