POLIS, MASYARAKAT SALING KERJASAMA

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

JASIN 9 September – Program Community Policing Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai kepentingan menjalinkan kerjasama dengan pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata landskap kerjaya polis semakin meniti cabaran dan arus yang kompleks, sekali gus memberi impak terhadap tanggungjawab yang dipikul.

“Sesungguhnya, usaha keras tuan puan (pegawai dan anggota PDRM) dalam mengekang jenayah dan memastikan keamanan masyarakat amatlah dihargai.

“Maka, sewajarnya program ini diadakan untuk kita terus memperkukuh kerjasama antara polis dan masyarakat melalui aktiviti komuniti seperti ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Program Community Policing Peringkat IPD Jasin di Dewan Terbuka Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh serta Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan.

Yang turut hadir Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman dan Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Zainol Samah.

Ab Rauf yakin program seumpama itu mempunyai matlamat dan hala tuju jelas iaitu mendidik masyarakat untuk menjadi ‘mata dan telinga’ kepada pihak polis.

“Masyarakat perlu bantu menyalurkan maklumat berkaitan jenayah dan kepentingan awam, sekali gus mewujudkan satu sistem kawalan yang mantap untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat di daerah Jasin.

“Alhamdulillah, hari ini dianggarkan seramai 600 orang terdiri daripada keluarga dan anggota polis serta komuniti dalam daerah Jasin hadir untuk mengambil bahagian.

“Ia sekali gus mampu mengeratkan ukhuwah silaturahim melalui pelbagai program yang diatur antaranya senamrobik, sukan rakyat dan merewang bersama,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

104
Kongsi :
Previous post MELAKA DESTINASI PELANCONGAN SELAMAT – KM
Next post PASAR RAYA DIDENDA RM20,000 JUAL KOSMETIK TANPA NOTIFIKASI KKM
Ubah saiz-+=