Polis Melaka beku cuti 2,572 anggota dan pegawai

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

BANDA HILIR 21 oktober – Polis Melaka membekukan cuti 2,572 anggota dan pegawainya bagi memberi tumpuan terhadap penugasan sepanjang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan musim Monsun Timur Laut.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata daripada jumlah tersebut seramai 1,800 anggota dan pegawai yang akan ditugaskan di lapangan sepanjang PRU15.

Katanya,  sebagai persiapan menghadapi PRU15 dan banjir disebabkan Monsun Timur Laut kelak, aset-aset Polis Melaka turut akan digerakkan jika perlu.

“Cuti anggota polis kontinjen Melaka telah dibekukan untuk kami membuat persiapan sehingga selesai proses PRU15 dan selepas Monsun Timur Laut.

“Aset polis pula kita akan gerakkan apabila perlu sebagai contoh, kelengkapan bot, polis sukarela, dab pelbagai lagi yang kita akan selaraskan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Kempen Cegah Jenayah dan Walkabout Sempena Perayaan Deepavali 2022 di Padang Nyiru, Little India, di sini malam tadi.

Hadir sama, Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), VP Shanmugam.

CE34238E-E4EA-4871-8AD7-27EA6F4F18C0
ZAINOL mengadakan sidang media

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan dan Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu.

Untuk rekod, semalam, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh mengumumkan tarikh mengundi PRU15 pada 19 November.

Manakala, tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 5 November dan bagi pengundian awal, tarikh ditetapkan ialah pada 15 November 2022.

Tarikh-tarikh itu ditetapkan susulan pembubaran Parlimen ke-14 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 10 Oktober lalu bagi memberi laluan kepada PRU-15 selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1945
Kongsi :
Previous post Penganggur disyaki edar dadah dicekup
Next post PDRM hulur bantuan kit makanan kepada masyarakat India
Ubah saiz-+=