Polis Melaka rampas dadah RM3.44 juta

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 20 Nov – Polis Melaka berjaya merampas dadah pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM3.44 juta selepas menahan 3,448 pengedar dan penagih dadah dalam tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, daripada jumlah tangkapan itu, seramai 1,315 ditahan kerana memiliki manakala 1,402 individu lagi yang ditahan membabitkan kes urin dan 45 lagi ditahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985.

Katanya, dalam tempoh sama, sebanyak 195 kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Semua yang ditahan dalam tempoh itu berusia antara 30 hingga 55 tahun namun pesalah membabitkan pelajar sekolah hanya merekodkan dua peratus sahaja,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan sijil penghargaan kepada beberapa pegawai dan anggota di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pelbagai jenis dadah turut dirampas dalam tempoh 10 bulan itu, antaranya termasuk dadah jenis methmaphetamine seberat 66.1 kilogram (kg); heroin sebanyak 10.17 kg; ganja (6.2 kg) dan ketamin (1.4 kg).

“Nilai keseluruhan jumlah rampasan dadah dalam tempoh itu adalah dianggarkan bernilai RM3.44 juta.

“Bagi nilai sitaan Perlucuthakan Harta (FOP) bernilai kira-kira RM1.65 juta,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Abdul Majid berkata, daerah Melaka Tengah merekodkan jumlah kes pengedaran tertnggi berbanding dua daerah lain di negeri ini.

Ujarnya, ia berikutan daerah itu mempunyai kepadatan penduduk selain kuasa membeli yang ada di kawasan itu.

“Berdasarkan siasatan dan risikan kita juga mendapati kebanyakan pengedar dadah di negeri ini mendapatkan sumber dadah di kawasan Lembah Klang dan Johor sebelum menyeludup ke negeri ini menerusi jalan darat sama ada melalui lebuh raya atau Jalan Persekutuan atau laluan tikus.

Views:

632
Kongsi :
Previous post Rundingan terus atasi isu banjir
Next post Paras amaran: Orang ramai perlu berhati-hati
Ubah saiz-+=