Paras amaran: Orang ramai perlu berhati-hati

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

MERLIMAU 20 Nov. – Kerajaan negeri menasihatkan orang ramai di sekitar Mukim Durian Tunggal agar berhati-hati berikutan paras air Sungai Melaka di kawasan terbabit kini hampir berada pada paras amaran.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md. Ali berkata, paras semasa Sungai Melaka dalam mukim terbabit berada pada ukuran 3.47 meter dan hampir mencecah paras amaran dengan ukuran sebanyak 3.85 meter.

Menurutnya, beberapa lokasi sungai lain di negeri ini turut menghadapi situasi sama diikuti di Sungai Duyong yang kini pada paras 1.11 meter dengan bacaan paras amaran sebanyak 2.14 meter.

“Sungai Chohong merekodkan paras semasa sebanyak 9.65 meter dan paras amarannya adalah pada ukuran 13.10 meter.

“Setakat ini tiada jalan yang ditutup di beberapa lokasi banjir dan menurut bacaan pasang surut air laut di Stesen Tanjung Kling mencatatkan ketinggian 86 sentimeter setakat 6.12 minit petang semalam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dang Anum, di sini petang tadi.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan dan Infrastruktur, Datuk Roslan Ahmad: Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan, Datuk Wira Latipah Omar serta wakil jabatan.

Tambah beliau, sebanyak lapan lokasi terjejas direkodkan di daerah Jasin iaitu di Taman Merlimau Mekar; Taman Merlimau Megah; Kilang Berapi; Kawasan di persektiaran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Abdul Rahman Yassin (SDARY); Pekan Tedong; Paya Lengkong; Seri Mendapat dan Tehel.

“Bagi daerah Alor Gajah pula membabitkan empat lokasi iaitu di Kampung Bukit Tambun; Kampung Bukit Balai; Kampung Pulau dan Kampung Belimbing,” katanya.

Views:

836
Kongsi :
Previous post Polis Melaka rampas dadah RM3.44 juta
Next post Banyak kluster sembuh, PKPB wajar ditamatkan
Ubah saiz-+=