Banyak kluster sembuh, PKPB wajar ditamatkan

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

AYER KEROH 20 Nov – Penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula esok disifatkan wajar dilaksanakan berikutan terdapat beberapa kluster di negeri ini sudah sembuh sepenuhnya.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, kerajaan negeri menyambut baik dengan pengumuman tamat PKPB oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi sidang media harian hari ini.

Katanya, penamatan itu turut memberi khabar baik kepada pemain industeri pelbagai sektor terutama sektor pelancongan di negeri ini bagi merancakkan semula ekonomi di negeri ini.

PENGERUSI Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri Datuk Rahmad Mariman

“Wajar juga PKPB ditamatkan kerana banyak kluster sudah pulih dan kluster sedia ada tidak ada peningkatan kes yang tinggi, malah jumlah kes sembuh semakin meningkat.

“Antara kluster yang sudah tamat termasuk kluster Rinting, Menara dan Utama malah ada juga beberapa kluster yang masih belum tetapi tidak menunjukkan peningkatan kes dalam beberapa tempoh seperti kluster Bandar Merlimau Utara (BMU) dan kluster Umboo.

“Hanya dua kluster sahaja yang masih aktif iaitu kluster Berendam dan kluster Bukit,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI) di sini, hari ini.

Bagaimanapun, dalam masa sama, beliau turut menzahirkan kebimbangan sekiranya masyarakat mula alpa dengan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Ujarnya, orang ramai diingatkan supaya tidak melakukan amalan bersalaman atau ‘fist bump’ ketika pertemuan serta menjaga penjarakan sosial dalam kalangan keluarga terdekat dan rakan sekerja.

“Individu yang diperintahkan kuarantin turut diingatkan supaya tidak bercampur dengan keluarga ketika menjalani perintah itu.

“Nasihat saya khususnya rakyat di negeri ini supaya tidak mengunjungi kawasan berisiko atau kawasan zon merah sekiranya tiada keperluan, dan jika perlu, amalkan pematuhan SOP kendiri demi keselamatan semua pihak,” katanya.

Jelasnya, apabila PKPB tamat, ini bermakna SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPB) diguna pakai sehingga ada perubahan baharu yang akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Views:

727
Kongsi :
Previous post Paras amaran: Orang ramai perlu berhati-hati
Next post Warga emas maut lemas dalam lumpur
Ubah saiz-+=