Warga emas maut lemas dalam lumpur

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

KLEBANG 21 Nov. – Lelaki warga emas lemas dipercayai akibat terperangkap dalam lumpur ketika sedang menyemai padi di Kampung Batang Tiga, Klebang di sini malam tadi.

Dalam kejadian itu, mangsa Ramli Samat 68, ditemui dalam keadaan tertiarap di kawasan sawah oleh cucunya yang keluar mencari mangsa kira-kira pukul 7.40 malam selepas datuknya tidak pulang ke rumah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangga Batu, Penolong Penguasa Bomba Roslan Jalil berkata, pihaknya terima panggilan kecemasan pukul 7.44 malam sebelum sembilan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Berdasarkan maklumat awal, pesawah itu ke sawah bersama dua lagi rakannya, namun mereka pulang lebih awal selepas selesai menguruskan sawah masing-masing.

“Mangsa terus berada di sawah sehingga hampir malam menyebabkan ahli keluarga yang bimbang mencarinya di lokasi kejadian.

“Setibanya di situ, mereka menemuinya dalam keadaan tertiarap dengan bahagian muka sepenuhnya di dalam lumpur,” katanya ketika dihubungi di sini.

Mengulas lanjut ujarnya, pasukan paramedik cuba membuat penyelamatan awal dengan memberi bantuan pernafasan namun disahkan telah meninggal dunia.

“Kita percaya mangsa mungkin cuba bangun, namun faktor tanah yang berselut menyukarkannya tambahan pula dipenuhi air kerana musim menyemai padi.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad mengesahkan menerima laporan dan diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut (SDR).

“Jenazah dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat,” katanya.

Views:

390
Kongsi :
Previous post Banyak kluster sembuh, PKPB wajar ditamatkan
Next post Tamat PKPB: Peluang pelancong lawat Melaka
Ubah saiz-+=