Tamat PKPB: Peluang pelancong lawat Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

KUALA LINGGI 21 Nov. – Kerajaan negeri mengalu-alukan kedatangan pelancong ke negeri ini dengan pelbagai tawaran menarik disediakan setiap kawasan pelancongan negeri ini berikutan tamatnya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) diumumkan semalam.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md. Ali berkata, pihaknya menyeru kepada pemain industri pelancongan Melaka dengan mengekalkan potongan terbabit ditawarkan buat pelancong khususnya kepada anak jati negeri ini.

Menurutnya, potongan terbabit meliputi 18 subsektor pelancongan di Melaka ditawarkan buat pengunjung seiring dengan hasrat kerajaan negeri dalam memperkasa kempen ‘Melakan Visit Melaka’ yang dilancarkan baru-baru ini.

“Saya menyeru kepada pelancong terutama rakyat negeri ini dengan merebut peluang ke atas potongan yang ditawarkan.

“Kerajaan negeri turut mengalu-alukan kedatangan pelancong dari negeri yang turut ditamatkan PKPB bagi melancong ke Melaka kerana ‘Melaka Is The Place To Be’

“Bagaimanapun kita mengingatkan mereka agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan terutama perlu melepasi ujian saringan COVID-19 dahulu sebelum berkunjung ke negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada lawatannya di Kampung Baru , Kuala Sungai Baru, di sini pagi tadi.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Linggi, Datuk Wira Ar. Ismail Othman; ADUN Tanjung Bidara, Datuk Md. Rawi Mahmud; ADUN Taboh Naning, Datuk Wira Latipah Omar serta tetamu lain.

Tambahnya, kerajaan negeri bersyukur dengan penurunan wabak terbabit sekali gus membawa kepada penamatan perintah berkenaan.

“Kita harap dengan penamatan perintah ini ia mampu meningkatkan ekonomi negeri Melaka terutama dalam sektor industri pelancongan,” katanya.

Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam mengumumkan Melaka antara empat negeri yang ditamatkan penguatkuasaan PKPB pada 21 November selepas menunjukkan trend penurunan kes positif COVID-19.

Tiga negeri lain termasuk Johor (kecuali Daerah Kota Tinggi dan Mersing), Kedah (kecuali Daerah Kulim) dan Terengganu.

Views:

679
Kongsi :
Previous post Warga emas maut lemas dalam lumpur
Next post Nasib Zainal ditentukan minggu hadapan
Ubah saiz-+=