Polis Melaka terima 4,073 permohonan rentas negeri

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

ALOR GAJAH 11 Nov. – Polis Melaka menerima 4,073 permohonan merentas negeri bagi melakukan perjalanan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Timbalan Ketua Polis Melaka Datuk Sharul Lalli Masduki  berkata, permohonan itu diterima pada hari pertama PKPB dilaksanakan di negeri ini.

“Tarikh pergerakan merentas negeri yang dimohon berbeza dalam tempoh PKPB selama sebulan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Ayer Keroh, di sini semalam.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu.

Dalam pada itu, beliau berkata dalam tempoh 8 April sehingga semalam, pihaknya mengeluarkan sebanyak 2,195 kompaun kepada orang ramai yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Bagaimanapun katanya, daripada jumlah itu seramai 14 inidivdu telah dikompaun atas ketidakpatuhan SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengikut Peraturan 10 di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit Berjangkit 2020 (Akta 342).

Ketika ditanya mengenai kekeliruan negeri ini dibenarkan merentas daerah, Sharul Laili berkata berikutan kawasan negeri ini yang tidak besar yang membabitkan tiga daerah sahaja, segala pergerakan merentas daerah adalah mengikut budi bicara polis yang membabitkan hal kecemasan dan lokasi pekerjaan.

“Bagi kekeliruan merentas daerah, polis melaksanakan apa yang diperintahkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), tetapi dalam pada masa sama orang ramai dibenarkan berada di atas jalan raya termasuk bagi orang ramai yang dibenarkan bekerja serta kes kecemasan dibenarkan bergerak.

“Oleh kerana negeri ini mempunyai jalinan jalan yang banyak, kita bukanlah membenarkan (pergerakan merentas daerah) secara ‘total’ tetapi hanya mereka yang dibenarkan berada di jalan raya sahaja boleh bergerak, yang lain dinasihatkan untuk berada di rumah,” katanya.

Views:

1139
Kongsi :
Previous post Lebih baik terima SOP COVID-19 terkini – Ab Rauf
Next post ‘Saya tak mampu bertugas seperti mereka’
Ubah saiz-+=