Polis Perak rujuk laporan babitkan Ahli Parlimen Ipoh Barat kepada SPRM

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

IPOH 9 Ogos – Polis Perak telah menghantar laporan diterima daripada setiausaha sulit Ahli Parlimen Ipoh Barat, berkaitan mesej yang disyaki berunsur rasuah melalui dua nombor telefon tidak dikenali kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya menerima laporan itu kira-kira 1.56 tengah hari Sabtu lalu.

“Laporan itu dibuat berkaitan mesej yang disyaki berunsur rasuah, melalui dua nombor telefon yang tidak dikenali pada Jumaat lalu kira-kira 10.30 malam, dan ada dua lagi laporan polis telah dibuat di Kedah serta Pulau Pinang berkaitan perkara sama,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

KETUA Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid. Foto PDRM.

Sehubungan itu beliau berkata, pihaknya menghantar laporan polis berkenaan kepada pihak SPRM Negeri Perak untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Katanya orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan dengan kes ini, memandangkan ia masih dalam siasatan pihak SPRM bagi mengelakkan daripada mengganggu siasatan yang sedang dijalankan.

Pada Sabtu lalu, Ahli Parlimen Ipoh Barat M. Kulasegaran dilaporkan hadir bersama Setiausaha Sulitnya Jeremy Chuah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, bagi membuat laporan polis berhubung dakwaan terdapat individu tidak dikenali cuba menyogoknya menyokong Perikatan Nasional (PN), dengan menawarkan habuan wang tunai bernilai RM30 juta serta dilantik menteri.

Sementara itu, Pengarah SPRM Perak Datuk Mohd Fauzi Mohamad ketika dihubungi Bernama mengesahkan menerima kes rujukan dari Polis Diraja Malaysia.

“SPRM akan jalankan siasatan dan akan panggil Ahli Parlimen itu untuk di rakam percakapan dalam masa terdekat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1082
Kongsi :
Previous post Lebih 24.5 juta dos vaksin COVID-19 diberikan setakat semalam – DR Adham
Next post Tiada PRK DUN Melor
Ubah saiz-+=