Polis selamatkan kanak-kanak mangsa dera bapa angkat

KUALA LUMPUR, 21 Okt – Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun diselamatkan daripada terus menjadi mangsa dera bapa angkatnya di sebuah pangsapuri di Ampang, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata polis turut menahan bapa angkat mangsa berusia 30 tahun pada 5 petang di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, susulan laporan yang dibuat oleh adik ipar suspek pada Rabu lepas.

Beliau berkata adik ipar suspek pada mulanya bertengkar dengan kakaknya berpunca pengadu menegur mereka kerana memarahi mangsa.

“Pengadu juga mendakwa pernah melihat suspek memukul mangsa sebelum ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Farouk berkata mangsa yang dijaga pasangan itu sejak berusia lima bulan, mengalami kecederaan di badan dan kaki serta luka di bahagian kemaluan dipercayai akibat didera suspek dengan menggunakan tangan.

“Bertindak atas laporan, pada 5 petang semalam, suspek yang bekerja sebagai pengawal keselamatan telah ditahan polis di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya.

“Suspek yang tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan negatif ujian saringan dadah, kini direman sehingga 25 Okt bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Mohamad Farouk berkata mangsa yang diserahkan kepada pasangan itu secara sukarela oleh individu tidak dikenali telah dibawa ke Hospital Ampang bagi mendapatkan rawatan lanjut.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2666
Previous post Talian heal 1555 beroperasi hari ini, bantu pesakit kesihatan mental
Next post Zii Jia tepati ramalan ke separuh akhir Terbuka Denmark