Polis siasat individu sebar berita palsu kematian pemanah negara

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

KUALA LUMPUR 24 Mei – Polis membuka kertas siasatan terhadap individu yang disyaki menyebarkan berita palsu mengenai kematian pemanah negara Allahyarham Haziq Kamaruddin yang didakwa meninggal dunia akibat pengambilan suntikan vaksin Astrazeneca.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, siasatan dibuat selepas polis menerima laporan daripada seorang pelajar perempuan pada Sabtu lalu yang melihat sebuah rakaman video dikongsikan menerusi aplikasi WhatsApp dan Instagram.

Beliau berkata video berdurasi tiga minit 34 saat itu, memaparkan dakwaan seorang wanita mengenai kematian Haziq disebabkan saluran darah tersumbat akibat pengambilan vaksin Astrazeneca dan melemparkan tuduhan terhadap Kementerian Kesihatan kerana menyembunyikan punca kematian sebenar serta melaporkan jumlah kes positif tidak tepat.

“Polis sedang mengesan individu yang terlibat dalam rakaman video itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Orang ramai dinasihatkan tidak sewenang-wenangnya mengulas atau menularkan sebarang maklumat yang tidak sahih, tindakan ini boleh mendatangkan kegusaran kepada masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 15 Mei lalu, Ketua Perkhidmatan Perubatan Forensik Datuk Dr Zahari Noor dalam kenyataan mengesahkan Haziq berusia 27 tahun itu meninggal dunia kerana komplikasi salur darah jantung tersumbat akibat daripada perubahan arterosklerosis dan tiada kaitan dengan vaksinasi COVID-19.

Haziq pernah mewakili negara ke Sukan Olimpik London 2012 dan Rio 2016, dilaporkan rebah di rumahnya kira-kira 8 pagi pada 14 Mei lalu, sebelum dikejarkan ke Hospital Kajang dan disahkan meninggal dunia pada 9.37 pagi.

Selain itu, Haziq antara lebih 200 atlet dan pegawai yang terlibat dalam persediaan ke Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo yang melengkapkan dos suntikan vaksin Pfizer-BioNTech pada 4 Mei lalu.

BERITA BERKAITAN:Kematian Haziq tiada kaitan dengan vaksinasi COVID-19 – Pakar forensik

Atlet memanah negara meninggal dunia

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1332
Kongsi :
Previous post Dua tren LRT Kelana Jaya berlanggar
Next post LRT bertembung: 213 cedera nahas dua tren laluan Kelana Jaya
Ubah saiz-+=