Polis tahan enam ahli sindiket pengedaran dadah, rampas syabu RM2.08 juta.

Masa Membaca:2 Minit, 12 Saat

AYER KEROH 25 Jan – Sindiket pengedaran dadah yang menjadikan negeri ini sebagai transit sebelum diedarkan ke pasaran antarabangsa, tumpas selepas polis menahan enam lelaki serta merampas dadah syabu bernilai RM2.08 dalam beberapa serbuan di sekitar daerah Melaka Tengah, Khamis lalu.

Serbuan oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayab Narkotik (JSJN) Melaka dan dibantu JSJN Bukit Aman bermula 9.15 malam itu menahan suspek berusia antara 32 hingga 49 tahun menerusi empat serbuan berasingan dalam tempoh 24 jam.

Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, sepasukan anggota yang menjalankan rondaan cegah jenayah di sekitar kawasan Batang Tiga Melaka terserempak lelaki dalam keadaan mencurigakan dan sedang memindahkan barang ke dalam sebuah kereta Mercedes Benz tanpa pemandu diparkir di hadapan kedai di lokasi berkenaan.

Katanya, berikutan itu anggota terbabit menghampiri lokasi tersebut, namun lelaki berkenaan yang memandu kereta jenis Volkswagen Passat memecut laju meninggalkan lokasi.

“Hasil pemeriksaan di dalam kereta Mercedes Benz menemui dua guni masing-masing berisi 24 dan 12 paket plastik bertulis Qing Shan, setiap satunya mengandungi dadah syabu.

“Turut ditemui satu beg berisi tujuh plastik warna hijau dan putih tertera tulisan sama mengandungi dadah jenis sama.

“Jumlah keseluruhan dadah dirampas seberat 33.04 kilogram (kg) dan dianggarkan bernilai RM1.24 juta,” katanya pada sidang media di Dewan Parameswara, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Majid berkata hasil siasatan polis menahan seorang lelaki berusia 32 tahun di sebuah pangsapuri di Klebang, di sini pada keesokan harinya sebelum menemui 21.38 kg dadah syabu dianggarkan bernilai RM840,000.

“Polis turut menahan seorang lagi suspek berusia 47 tahun di sebuah kondominium di Klebang dan dua lagi suspek berusia 35 dan 39 tahun di sebuah hotel di Ujong Pasir pada hari sama.

“Serbuan seterusnya di sebuah lagi kondominium di Cheng, polis menahan dua lelaki berasal dari Pulau Rupat, Indonesia berusia 49 dan 41 tahun.

“Dalam semua serbuan itu, polis menyita beberapa kenderaan termasuk empat kereta, dua motosikal dan sebuah bot yang dipercayai digunakan untuk merentas sempadan bagi aktiviti pengedaran dadah, yang keseluruhannya bernilai RM179,000.

“Semua tangkapan dibuat dalam tempoh 24 jam selepas penemuan dadah dalam kereta Mercedes itu,” katanya.

Menurut Abdul Majid, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan bergerak aktif sejak dua bulan lalu dan menjadikan negeri ini sebagai transit.

“Kita percaya bahawa dadah ini dibekalkan di luar Melaka dan negeri ini dijadikan transit untuk pengedaran antarabangsa.

“Sindiket memperolehi dadah dengan harga borong dan jumlah rampasan dadah itu mampu dibekalkan kepada 100,000 hingga 150,000 penagih,” katanya.

Beliau berkata semua suspek direman tujuh hari bermula Sabtu hingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Views:

880
Kongsi :
Previous post Zii Jia, lima beregu teruskan cabaran negara di Final Jelajah Dunia HSBC BWF
Next post Bersukan di taman rekreasi: Penjawat awam antara 17 dikompaun
Ubah saiz-+=