Politik Melaka: Rumah siap pahat berbunyi

Masa Membaca:2 Minit, 55 Saat

Rumah siap pahat berbunyi – Itulah bidalan paling tepat menggambarkan politik Melaka mutakhir ini. Bunyi tersebut dilakukan oleh mereka yang jelas mencemburui suasana pentadbiran Negeri Melaka yang stabil lagi makmur!

Serangan terhadap pentadbiran Negeri Melaka dibuat secara konsisten oleh tangan-tangan ghaib atas nama demokrasi. Agenda pihak tertentu ini amat tersusun serta penuh dengan muslihat.

Mungkin pihak tertentu ini masih belum ‘move on’ atau hayat politik mereka amat bergantung kepada ‘politik isu’. Oleh itu, mereka perlu terus mewujudkan isu untuk kekal relevan.

Tanpa mengambil kira benar atau tidak isu yang diketengahkan, mereka akan terus mensensasikan politik adu domba agar dapat mengekalkan ‘kepanasan’ suhu politik Melaka.

Tohmahan liar bahawa akan ada satu usul undi tidak percaya kepada Ketua Menteri semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka akan datang adalah amat keterlaluan.

Di sebalik kegigihan para pemimpin kerajaan Negeri Melaka bekerja meningkatkan ekonomi dan taraf hidup rakyat, mereka terus menjaja fitnah demi agenda peribadi mereka.

Tulisan dan artikel begini disebarkan konon atas nama demokrasi. Namun tulisan dan artikel begini tidak pernah disertakan dengan bukti bagi menyokong tulisan mereka.

Artikel mereka hanya berdasarkan ‘hearsay’ dan tidak pernah disokong dengan fakta-fakta yang sahih. Malahan fitnah mereka telah dinafikan berkali-kali oleh Ketua Menteri dan Exco Kanan Negeri Melaka.

Biarpun telah dinafikan berkali-kali, pihak berkenaan tidak peduli. Mereka terus menabur fitnah dan mencipta persepsi negatif. Mungkin bagi mereka, ‘kelazatan’ menyebar berita palsu itu lebih penting.

Selepas ini, mungkin kerajaan negeri boleh mempertimbang tindakan undang-undang terhadap mereka yang berterusan menyebar berita palsu bagi menggangu tumpuan kerajaan negeri.

Tanpa prejudis, saya tidak terfikir langsung pemimpin utama Kerajaan Negeri Melaka akan mengkhianati mandat rakyat. Bagi dua pemimpin utama Melaka, mandat ini perlu dipertahankan demi rakyat.

Pimpinan Melaka yang diterajui Datuk Seri Sulaiman dan Datuk Seri Rauf kini memberikan tumpuan sepenuhnya memperkasa ekonomi negeri sebelum kita melangkah ke fasa endemik Covid 19.

Para pemimpin di Melaka perlu menyediakan tapak yang kukuh demi memastikan Melaka menjadi pilihan para pelabur apabila pintu ekonomi dibuka sepenuhnya nanti.

Kerana itulah potfolio pelaburan dan perindustrian yang diterajui oleh Rauf giat mencari pelabur baru bagi memastikan ekonomi Melaka terus berkembang di landasan yang tepat.

‘Malaysian Investment Development Authority (MIDA)” melaporkan setakat bulan Januari hingga Mac 2022, Melaka mencatatkan pelaburan masuk berjumlah RM2.6 bilion. Jumlah ini adalah antara yang tertinggi di Malaysia.

Segalanya adalah demi rakyat. Biarpun tohmahan sebegini tidak langsung mengganggu Sulaiman dan Rauf, jangan pula kita biarkan ianya menjadi ‘api dalam sekam’ di kalangan rakyat Melaka.

Kita tidak nampak tanda-tanda pihak berkenaan akan berhenti menyerang Kerajaan Negeri Melaka. Mungkin propaganda Joseph Goebbels, “penipuan yang yang diulang-ulang akan dipercayai (menjadi benar)” sebati dengan mereka.

Hendaknya kita semua jangan jadi seperti itu. Prinsip berpolitik haruslah berteraskan nilai yang murni. Saya percaya, bagi pemimpin utama Melaka, jujur dan amanah adalah perjuangan suci.

Sudah-sudahlah dengan politik adu domba. Rakyat telah membuat pilihan pada PRN yang lalu. Mandat ini perlu dihormati oleh semua pihak dan jangan sesekali kita mengkhianatinya.

Jika ada pihak yang masih berdegil memahat rumah Melaka yang telah siap agar terus berbunyi, kita pastikan pahat mereka tidak berbunyi dengan kejayaan melonjakkan ekonomi Melaka ke tahap lebih tinggi.

“Yang pipih tidak datang melayang, yang bulat tidak datang bergolek”. “Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat”. Maka itu, mari bersama kita kukuhkan ‘Rumah Melaka’ sesuai peranan kita di semua peringkat.

Mari bersama kita kukuhkan agar rumah yang telah siap selepas PRN lalu kalis bunyi dan tidak mengganggu tumpuan kita lagi.

Penulis adalah Ketua Pegawai Operasi Melaka Hari Ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

8660
Kongsi :
Previous post Upacara pengebumian Abe diadakan hari ini
Next post Pemilik anjing peliharaan diminta lebih bertanggungjawab
Ubah saiz-+=