Potensi besar kemajuan Klebang

Masa Membaca:3 Minit, 37 Saat

KLEBANG 6 September – Pembangunan berkualiti dalam pelbagai sektor bakal menjadi misi Datuk Lim Ban Hong dalam mewajah Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang dalam tempoh lima tahun ini.

Sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang, Ban Hong berkata, kepentingan untuk rakyat harus diutamakan dalam apa jua pembangunan atau kemajuan yang sedang dirangka di kawasan itu agar manfaatnya dapat dilimpahkan kepada semua.

Baik sektor pelaburan, perniagaan hinggalah ke pendidikan dan pertanian akan diberi perhatian khusus dalam mensejahterakan kehidupan rakyat di kawasan itu.

1
PELBAGAI projek pembangunan berimpak tinggi bakal dilaksanakan di Klebang.

POTENSI TAMBAK LAUT

Menurut Ban Hong, Klebang yang terletak di kawasan tambakan laut terbesar di negeri ini mempunyai pelbagai potensi boleh diteroka untuk tujuan pembangunan.

Meskipun begitu, beliau mahu projek-projek yang akan di bawa ke kawasan itu tidak hanya menguntungkan negeri semata-mata, bahkan nikmatnya turut boleh dirasai rakyat.

Menurutnya, pembangunan yang dirangka di kawasan itu perlulah berupaya menambah peluang pekerjaan kepada rakyat di kawasan itu.

“Pada masa sama, kita jua mahu pembangunan yang dirangka menambah lebih banyak aktiviti perniagaan dalam merancakkan ekonomi di Klebang,” katanya yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

KHAZANAH PERTANIAN, PERIKANAN

Ban Hong berkata, di sebalik kemajuan Klebang masa kini, ramai tidak mengetahui bahawa kawasan itu sebenarnya merupakan antara kawasan pertanian terbesar di Melaka.

Katanya, Klebang mempunyai sawah padi antara yang terbesar, selain turut memiliki kebun buah-buahan dan sayur-sayuran yang menyumbang kepada bekalan makanan di negeri ini.

Oleh sebab itu, katanya, beliau mahu aktiviti pertanian di kawasan itu diberi tumpuan khusus dengan menaik taraf sistem perparitan dan pemasangan saluran air, selain membina rumah pam yang sesuai dengan perkembangan sektor pertanian di kawasan itu.

“Kerja naik taraf ini penting bagi memastikan air yang disalurkan mencukupi kepada semua kawasan pertanian dan sawah padi. Buat masa ini, kerja-kerja naik taraf sedang dalam proses,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, kepentingan golongan nelayan di kawasan itu juga sama sekali tidak dilupakan memandangkan Klebang memiliki dua pengkalan nelayan di Klebang Besar dan Lereh.

“Untuk nelayan, kita akan beri tumpuan kepada kerja naik taraf infrastruktur seperti pembinaan pelantar dan menaik taraf jeti untuk memberikan kelengkapan lebih selesa kepada nelayan,” katanya.

PERBANYAKKAN RUMAH MAMPU MILIK

Ban Hong yang mengangkat sumpah sebagai Adun Klebang buat kali kedua pada November tahun lalu berkata, dalam manifesto yang dibentangnya sebelum ini, beliau juga mahu memastikan golongan muda di Klebang dapat memiliki rumah sendiri.

Untuk merealisasikan hasrat itu, beliau mahu pembangunan rumah mampu milik dan projek perumahan rakyat diberi tumpuan oleh kerajaan negeri.

“Kita berharap projek perumahan yang dirangka di kawasan ini dapat menampung keperluan golongan muda dan orang kurang upaya (OKU) yang belum memiliki rumah untuk diberi keutamaan.

“Pada masa sama, saya juga akan terus memantau Projek Perumahan Rakyat (PPR) Klebang yang sebelum ini terbengkalai dan kerja pemulihannya sudah kembali bermula.

“Kita harap apabila projek ini disiapkan, akan ada PPR seterusnya dapat dibangunkan di Klebang selepas ini,” katanya.

4
BAN Hong ketika mengadakan ziarah kasih ke atas pesara tentera dan polis di DUN Klebang.

KEBAJIKAN RAKYAT DIUTAMAKAN

Sempena kemerdekaan ke-65 tahun ini, Ban Hong turut tidak melupakan jasa dan pengorbanan petugas keselamatan yang terlah berkorban untuk negara selama ini.

Beliau bersama, barisan kepimpinan telah mengadakan ziarah kasih menyantuni pesara polis dan tentera di dalam DUN Klebang.

Menurutnya, lawatan itu turut disertai sekumpulan anak muda bertujuan untuk memupuk semangat patriotisme dalam kalangan belia, selain membolehkan mereka mendengar sendiri kisah dan pengalaman petugas keselamatan dalam mempertahankan negara.

“Dalam lawatan itu, kita turut memberikan sumbangan dan bantuan kit makanan kepada wira negara ini,” ujarnya.

5
LIM BAN HONG

BIODATA:

Nama: Datuk Lim Ban Hong
Umur: 45

Karier:-
– Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (2020 – kini)
– Ahli Dewan Undangan Negeri Klebang (2021 – kini)

Politik:-
– Naib Presiden MCA
– AJK MCA Pusat (2013 – kini)
– Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan MCA Negeri Melaka (2015 – kini)
– Ketua MCA Bahagian Tangga Batu (2013 – kini)

Pendidikan:-
– Sarjana Muda Sains Komputer Universiti Teknologi Malaysia
– Sarjana Muda Undang-Undang University of London

INFO DUN KLEBANG:

Bil. Penduduk: 74,646

Kampung: 23
Taman Perumahan: 57

Rumah Ibadat:-
– Masjid: 6
– Surau: 28
– Tokong: 3
– Gereja: 1

Sekolah:-
– Sekolah Menengah: 2
– Sekolah Kebangsaan: 3
– Sekolah Rendah Agama JAIM: 5
-Sekolah Tahfiz: 2
– Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina): 2

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2456
Kongsi :
Previous post Bank era penjajahan British kini jadi Galeri Warisan Melaka
Next post Agong, Permaisuri ucap tahniah kepada skuad dodgeball lelaki negara
Ubah saiz-+=