PPLK Taman Botanikal kutip 6 tan barangan kitar semula sejak beroperasi

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

AYER KEROH 14 Ogos – Pusat Pandu Lalu Kitar Semula (PPLK) yang dibuka di Taman Botanikal mencatatkan kutipan enam tan barangan kitar semula sejak beroperasi secara rasmi pada 30 Mei lalu.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment), Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata sejak PPLK itu dibuka pihaknya menerima sambutan positif daripada masyarakat sekitar.

Katanya, jumlah kutipan itu telah menyumbang kira-kira lima peratus daripada keseluruhan jumlah kutipan iaitu sebanyak 117 tan di bawah program KITARercycle seluruh Negeri Melaka.

“Dianggarkan juga setiap bulan, dua hingga tiga tan akan direkodkan di PPLK Taman Botanikal di mana kita sasarkan lebih 10 tan kutipan menjelang hujung tahun ini.

“Pada bulan Jun sebanyak 644 kilogram (kg) barangan kitar semula telah dihantar ke pusat ini dan ianya meningkat kepada 5,264 kg pada bulan Julai.

“Tiga kategori barangan kitar semula tertinggi yang dihantar ke PPLK ini adalah kertas dengan seberat 2,453.5 kg, plastik (764.5 kg) dan besi (733 kg) sejak ia mula beroperasi penghujung Mei lalu,” katanya.

WhatsApp Image 2023-08-14 at 13.29.40
NORLISAM ketika menyampaikan cenderahati kepada Rohayah pada Program Sembang Santai SWM Environment di Taman Botanikal, di sini.

Beliau berkata demikian pada sidang media Program Sembang Santai SWM Environment di PPLK Taman Botanikal, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah SWCorp negeri, Khairuladha Ab Mutalib dan Setiausaha Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Rohayah Abdullah.

Mengulas lanjut, Mohd Norlisam berkata pihaknya mengharapkan dengan kewujudan PPLK terbabit, ia dapat menarik minat warga sekitar untuk mengurangkan janaan sisa ke tapak pelupusan sampah.

“Kita harap lebih ramai orang awam dan penduduk sekitar dapat menjalankan aktiviti kitar semula dalam kehidupan seharian sekaligus membantu menjadikan Melaka sebuah negeri lestari pada masa hadapan dengan mengurangkan janaan sisa sampah,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Norlisam turut memaklumkan sejak Program KITARecycle dilancarkan pada 2018 seramai 4,740 ahli yang berdaftar di Negeri Melaka dan dijangka keahlian itu akan terus meningkat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1281
Kongsi :
Previous post MASKOM B juara sepak takraw Liga Sukan Komuniti Alor Gajah
Next post Kanak-kanak didera, waris layak menjaga belum dimuktamadkan
Ubah saiz-+=