PPR Klebang siap pertengahan tahun hadapan

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

KLEBANG 29 Mac – Projek Perumahan Rakyat (PPR) Klebang dijangka siap pada pertengahan tahun hadapan apabila Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sudah melantik kontraktor baharu bagi meneruskan pembinaan.

EXCO Perumahan negeri, Datuk Zaidi Attan berkata, projek berkenaan tertangguh sejak tahun 2018 dan KPKT mengambil langkah langkah itu bagi memastikan projek perumahan itu siap mengikut tempoh ditetapkan.

Jelasnya, selain melantik kontraktor baharu, kementerian itu juga memohon peruntukan tambahan berjumlah RM16 juta daripada Kementerian Kewangan Malaysia, bagi kerja tambahan.

“Kontraktor baharu sudah dilantik dan akan berada di tapak seawal bulan Mei nanti malah dijangka akan mengambil masa setahun untuk siapkan.

“Kerja tertangguh cuma tinggal 10 peratus, sebenarnya projek ini sudah siap 90 peratus. Selain itu kita juga akan tengok semula sistem pendawaian jika terdapat kerosakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat tapak pembinaan projek berkenaan yang turut dihadiri Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM), Mohd Salleh Hamidom.

EXCO Perumahan negeri, Datuk Zaidi Attan. Foto Iqmal Haqim Rosman

Media sebelum ini melaporkan, ibarat menanti buah yang tidak gugur. Itulah yang dirasai 150 pemohon rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Klebang, di sini apabila kediaman dibeli sejak empat tahun lalu masih tidak menunjukkan tanda akan siap dalam tempoh terdekat.

Meskipun mengikut perjanjian awal projek berkenaan akan siap pada 2018, namun sehingga kini tiada khabar daripada pihak bertanggungjawab mengenai status projek itu yang dilihat seperti ‘tidak berusik’ sejak tahun lalu.

Bagaimanapun pada 25 Feb lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina berkata kementeriannya memberi jaminan semua projek sakit PPR di negara perlu dimulakan semula selewat-lewatnya Jun ini.

Katanya, ia bagi membolehkan semua projek terbabit dapat disiapkan dalam tempoh setahun akan datang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2404
Kongsi :
Previous post Panel 7 hakim tolak permohonan semakan Malaysiakini batal sabitan menghina, denda
Next post Sinar baharu buat pemohon PPR Klebang
Ubah saiz-+=