
PREMIS GAGAL URUS SISA, 20 NOTIS KESALAHAN DIKELUARKAN
AYER KEROH 30 April – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mengeluarkan sebanyak 20 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) berjumlah RM10,000 dikeluarkan terhadap operator premis yang gagal menjaga kebersihan.
Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman berkata, kesalahan itu dikesan menerusi Operasi Penguatkuasaan Kawal Selia (Ops PEKASE) memfokuskan kawasan rumah kedai di Taman Krubong Jaya dan Taman Satu Krubong, di sini, semalam.
Shadan berkata, operasi bersepadu itu diharap meningkatkan tahap kesedaran pemilik premis berhubung aspek kebersihan yang sebenarnya tanggungjawab semua pihak dan bukan digalas oleh MBMB semata-mata .
“Kawasan berkenaan dikenal pasti mengalami isu pengurusan sisa dan kebersihan premis, susulan operasi dilaksanakan ini saya berharap ia menjadi peringatan kepada semua yang berkenaan agar lebih prihatin terhadap kebersihan persekitaran.
“Menerusi operasi ini juga Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Melaka mengeluarkan empat notis pematuhan di bawah Peraturan-Peraturan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2018. Notis pematuhan ini dikeluarkan ke atas premis yang tidak melantik pemegang lesen sah bagi pemungutan sisa pepejal,” katanya.
Hadir menyampaikan taklimat operasi berkenaan ialah Ketua Bahagian Kawal Selia MBMB Norliah Abd Rahman.
Beliau, turut menegaskan bahawa tindakan diambil sejajar dengan matlamat MBMB untuk mengekalkan imej bersih dan sistem pengurusan sisa yang tersusun.
“Semua operator perniagaan perlu sentiasa memastikan premis mereka bersih bagi mengelakkan tindakan kompaun dan pencemaran alam sekitar.
“MBMB akan terus mempertingkat penguatkuasaan demi menjaga imej dan kebersihan bandaraya,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.