Premis perniagaan pilih mula operasi seperti biasa

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

DUYONG 25 Mei – Hari pertama pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) diperketatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 menyaksikan kebanyakan premis perniagaan memulakan operasi perniagaan seperti biasa seawal jam 10 pagi meskipun dibenarkan dibuka pada jam 8 pagi.

Tinjauan Melaka Hari Ini di kawasan perniagaan di Taman Pertam Jaya pada jam 8.30 pagi mendapati kebanyakan peniaga belum memulakan operasi kedai masing-masing.

Antara kedai yang masih ditutup termasuk kedai runcit, kedai dobi layan diri, kedai menjual alat ganti dan membaiki kenderaan.

Bagaimanapun, bagi kedai serbanena, operasi perniagaan dibuka lebih awal berbanding operasi biasa sebelum PKP 3.0 iaitu pada jam 10 pagi.

PENIAGA kedai makan akur arahan kerajaan untuk mula beroperasi jam 8 pagi hingga 8 malam sahaja.

Bagi kedai makan atau restoran, rata-ratanya pemilik premis memulakan operasi perniagaan lewat dua jam daripada biasa berbanding 6 pagi sebelum ini.

Pemilik kedai makanan, Rohaya Abdul, 56, berkata dia terpaksa akur apabila terpaksa memulakan operasi perniagaan pada jam 8 pagi.

“Pekerja kilang atau syarikat swasta dan kakitangan awam kebanyakannya pergi bekerja seawal jam 6 hingga 7 pagi jadi kebanyakan mereka tidak dapat singgah membeli sarapan di kedai saya kerana masih belum buka lagi.

“Kalau sebelum ini, jam 7 pagi saya sudah mula berniaga jadi ramai yang singgah untuk membeli sarapan sebelum ke pejabat masing-masing,” katanya.

Kelmarin, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan SOP tambahan PKP 3.0 menetapkan waktu operasi perniagaan termasuk pusat beli-belah dibenarkan bermula  jam 8 pagi hingga 8 malam.

Katanya, arahan itu berkuat kuasa di seluruh Semenanjung Malaysia termasuk Wilayah Persekutuan Labuan bermula hari ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1064
Kongsi :
Previous post Bekalan ayam segar cukup
Next post Insiden pertembungan dua tren LRT: 65 mangsa masih dirawat di HKL
Ubah saiz-+=