PRN Johor: Agihan kerusi parti komponen BN dibuat secara musyawarah – Presiden MCA

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

JOHOR BAHRU, 20 Feb – Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata agihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan dibuat secara musyawarah melibatkan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN).

Beliau yang juga Menteri Pengangkutan berkata proses perbincangan itu tidak akan dimaklumkan khususnya kepada media sehingga ia dimuktamadkan bagi mengelak ‘perang mulut’ antara parti komponen.

“Soal agihan kerusi, apa yang dibincang tidak boleh dimaklumkan kecuali sekiranya ia sudah dimuktamad kerana saya sudah beberapa penggal lihat, apa yang belum muktamad tidak wajar dimaklumkan. Kita bukan hendak tuntut kerusi melalui media, itu cuma akan jadi perang mulut sahaja.

“Bagi kita yang penting adalah mencapai kata sepakat melalui semangat musyawarah pada akhirnya. Jangan bimbang kerana kita sedang melalui proses itu, kita akan bincang dan cari formula yang dipersetujui semua pihak. Masih ada ruang berbincang, tiada isu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST) Johor Bahru yang dirasmikan Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad di sini hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac ini sebagai hari pengundian dengan penamaan calon pada 26 Feb manakala pengundian awal pada 8 Mac.

Mengulas mengenai prosedur operasi standard (SOP) PRN Johor dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang memberi lebih banyak kelonggaran berbanding PRN sebelum ini, Wee berkata semua pihak perlu akur dengan perkara berkenaan.

Beliau berkata SOP yang diputuskan itu mampu menjaga keselamatan dan kesejahteraan rakyat di negeri itu, malah memberi kelegaan kepada parti politik kerana berpeluang berkempen walaupun terhad kepada jumlah tertentu.

Menurut SOP dikeluarkan SPR, penganjuran ceramah, syarahan dan kempen secara fizikal dan ziarah rumah ke rumah dibenarkan sepanjang 14 hari tempoh berkempen PRN Johor.

Ceramah dan kempen hanya dibenarkan di pejabat parti dan bilik gerakan parti yang rasmi dengan kehadiran tidak melebihi 100 orang, manakala bagi kempen ziarah rumah ke rumah, penyertaan tidak melebihi lima orang.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

918
Kongsi :
Previous post BATC 2022: Skuad lelaki akhiri dominasi Indonesia sebagai juara Asia
Next post RM150 juta untuk Johor laksana perkhidmatan myBAS – Wee Ka Siong
Ubah saiz-+=