Sorting by

×

PRN Johor: Menang 40 kerusi DUN melebihi sasaran, luar jangkaan – PM

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

KUALA LUMPUR, 13 Mac – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kemenangan di 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semalam melebihi sasaran yang ditetapkan oleh parti.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata ini kerana ramai menjangkakan Barisan Nasional (BN) boleh menang, tetapi dengan majoriti mudah atau 35 kerusi.

“Kemenangan besar pada PRN Johor adalah di luar jangkaan.

“Saya percaya rakyat sudah boleh membuat perbandingan. Dulu mereka tidak boleh membuat perbandingan sebab negara diperintah BN selama 60 tahun, ramai rakyat waktu itu melihat kelemahan BN,” kata beliau dalam hantaran di laman Facebook rasminya, hari ini.

Ismail Sabri berkata selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 rakyat sudah boleh menilai dan ternyata apa yang dijanjikan oleh parti lain tidak dipenuhi walaupun sudah diberikan peluang oleh rakyat.

“Rakyat menilai siapa yang lebih baik dan terbukti BN prihatin membantu rakyat. Disebabkan itu juga kita menang di Melaka. Dalam PRN Johor kali ini, rakyat mudah membuat pilihan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada pengundi Johor kerana memberikan kepercayaan kepada BN untuk menerajui kepemimpinan negeri berkenaan,” katanya

Beliau juga berterima kasih kepada semua kepimpinan UMNO, BN, rakan-rakan parti BN dan semua jentera yang bekerja kuat memenangkan parti.

“Rakyat Johor sudah membuat pilihan, semua pihak harus menerima dengan hati yang terbuka, lupakan pertandingan yang telah berlalu, duduk bersama sebagai keluarga besar Keluarga Malaysia untuk kita bersama-sama membangunkan negeri Johor,” katanya.

PRN Johor menyaksikan BN menang di 40 kerusi DUN manakala Perikatan Nasional (PN) hanya memperoleh tiga kerusi, manakala Pakatan Harapan (11 kerusi) dan masing-masing satu kerusi bagi PKR dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1583
Kongsi :
Previous post Pengusaha dobi rugi RM1,000 ditipu sindiket pinjaman wang tidak wujud
Next post Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia bantu realisasikan hasrat pelajar luar bandar ke IPT – PM
Ubah saiz-+=