PRN Melaka: Empat penjuru di Sungai Udang

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

SUNGAI UDANG 8 Nov – Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang 20 November ini secara rasminya menyaksikan persaingan empat penjuru.

Pengumuman rasmi calon yang bertanding dibuat Pegawai Pengurus PRN DUN Sungai Udang Datuk Shamsul Ambia Abdul Aziz, pukul 10.45 pagi.

Empat calon terbabit ialah calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad, 57, calon Pakatan Harapan (PH) dari PKR, Hasmorni Tamby, 46, calon Pakatan Nasional (PN) dari Bersatu, Dr Mohd Aleef Yusuf, 35, dan calon Bebas Datuk Mohd Zahar Hashim, 63 tahun.

Mereka mengemukakan borang pencalonan masing-masing sebelum tamat tempoh penamaan pukul 10 pagi tadi.

Proses semakan dan cabut undi pada kertas undian selesai tanpa penolakan atau bantahan dikemukakan mana-mana pihak.

Shamsul Ambia berkata beliau berpuas hati dengan kertas pencalonan yang dikemukakan oleh calon sewaktu semakan dibuat.

“Selepas menyemak kertas pencalonan itu dan saya berpuas hati sekali gus tidak ada calon ditolak borang mereka,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 20 November ini sebagai tarikh PRN Melaka dan pengundian awal pada 16 November ini.

la ekoran pembubaran DUN pada 4 Oktober lalu susulan empat ADUN menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Melaka yang mempunyai 28 kawasan DUN, memiliki seramai 495,196 pengundi berdaftar dengan 240,530 atau 48.57 peratus pengundi adalah lelaki dan baki 254,666 atau 51.43 peratus, wanita.

Sementara itu, tinjauan MHI mendapati proses penamaan calon dalam suasana norma baharu berlangsung tanpa perarakan penyokong-penyokong yang mengiringi calon.

Hanya pencadang dan penyokong dilihat mengiringi calon masing-masing masuk ke kawasan pusat penamaan bagi mengemukakan kertas penamaan calon.

Sebelum dibenarkan memasuki pusat penamaan, setiap calon diwajibkan menjalani pemeriksaan suhu dan scan mySejahtera sebagaimana prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan SPR sebelum ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1347
Kongsi :
Previous post Pertembungan tiga penjuru DUN Tanjung Bidara
Next post DUN Rim pertembungan tiga penjuru
Ubah saiz-+=