Sorting by

×

Prof Dr Haim Hilman dilantik Naib Canselor UUM

Masa Membaca:53 Saat

KUALA LUMPUR, 19 Jan – Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Dr Haim Hilman Abdullah dilantik sebagai Naib Canselor UUM yang baharu, berkuat kuasa Isnin lepas (17 Jan).

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Prof Datuk Dr Husaini Omar dalam kenyataan hari ini memaklumkan sebagai universiti berfokus pengurusan yang cemerlang, pihaknya percaya dengan segala pengalaman, pengetahuan dan kredibiliti Haim Hilman untuk menggalas tanggungjawab diberikan.

Beliau berkata kementerian juga percaya Haim Hilman mampu meneruskan kesinambungan UUM sebagai pusat kecemerlangan pembelajaran dan pengajaran, penyelidikan, penerbitan dan perundingan yang terkemuka dalam bidang pengurusan di dalam dan luar negara.

“Kementerian juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Prof Datuk Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani atas segala sumbangan dan kepimpinan beliau menerajui UUM selama tiga tahun sejak 2018,” katanya.

Haim Hilman, 49, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana dalam bidang Pentadbiran Perniagaan dari University of Portsmouth, United Kingdom.

Beliau turut memperoleh Ijazah Kedoktoran dalam Pengurusan Strategik pada 2010 dari Universiti Putra Malaysia.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2353
Kongsi :
Previous post Piala Sulaiman cari regu sepak takraw terbaik Melaka
Next post 99 majikan degil didakwa
Ubah saiz-+=