Program komuniti suburkan perpaduan

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

DUYONG 25 Mac – Program kemasyarakatan dalam komuniti sesebuah perumahan atau kampung perlu diteruskan dan dijadikan medan menyatupadukan ukhwah antara kejiranan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata pihaknya sentiasa memberi sokongan penuh kepada mana-mana persatuan penduduk melaksanakan aktiviti kemasyarakatan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

Mohd Noor Helmy yang juga Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata, program seumpama itu secara tidak langsung dapat mengelakkan kelompok kecil komuniti daripada berasa terasing atau disisih.

“Kita juga menggalakkan program berbentuk komuniti ini dianjurkan di surau kerana institusi seperti ini adalah tempat penduduk berhimpun.

“Meskipun dilaksanakan dalam skala kecil atau sederhana tidak mengapa, apa yang penting adalah impaknya dalam menyemai dan menghidupkan semangat toleransi dalam kalangan penduduk, selain menjadi cerminan kepada generasi muda agar mereka faham mengenai pentingnya perpaduan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Agihan Bubur Lambuk anjuran Surau As-Salam Pangsapuri Pertam Jaya Idaman (PPJI) bersama Kelab Pengamal Media Melaka (Pendika), di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Pendika, Amir Mamat dan Pengerusi Surau As-Salam PPJI, Mohd Azam Yuseff.

Dalam program diadakan itu, sebanyak 300 pek bubur lambuk telah diagihkan kepada penduduk sekitar termasuk pengamal media terlibat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

61
Kongsi :
Previous post Anak gajah mati dilanggar kereta api penumpang di Kluang
Next post Op Pantau 2024: KPDN catat nilai rampasan lebih RM400,000 sepanjang 12 hari
Ubah saiz-+=