Projek Melaka Gateway diteruskan, tak batal – KM

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

AYER KEROH 28 Nov. – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali menegaskan projek pembangunan Melaka Gateway di Pulau Melaka, di sini tetap diteruskan, namun ia hanya membabitkan pertukaran syarikat pemaju.

Sulaiman berkata, kerajaan negeri tidak akan menamatkan pembangunan itu sebagaimana didakwa kerana projek mega itu berada dalam koridor pelaburan berimpak tinggi, Melaka Waterfront Economic Zone (M-Wez).

“Pembangunan tetap diteruskan kerana ia mempunyai pelbagai model perniagaan, yang mana membabitkan isu teknikal kita perbetulkan sedikit.

KETUA Menteri Datuk Seri Utama ha
Haji Sulaiman Md Ali hadir pada Majlis Pelancaran Kempen Promosi Melakan Visit Melaka Packages 2020 2.0, di Terowong Zoo Melaka.

“Melaka Gateway juga terletak dalam pembangunan M-Wez, jadi kita tidak akan membiarkan pembangunan mega itu terbengkalai begitu sahaja,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Melakan Visit Melaka Packages 2020 2.0 dan Zoo Melaka Tunnel di Zoo Melaka di sini hari ini

Melaka Gateway merupakan projek pembangunan komersial bercampur di kawasan seluas 246.4 hektar terdiri daripada tiga pulau baru dengan dua daripadanya adalah buatan manusia.

Ia dijangka siap pada 2025 dengan menelan kos RM43 billion.

Kerajaan negeri bagaimanapun menamatkan perjanjian penambakan laut projek mega itu bersama syarikat pemaju, KAJ Development (KAJD) Sdn. Bhd. pada 3 Oktober lalu.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri sebelum ini, syarikat berkenaan ditamatkan perjanjian tersebut kerana didapati gagal menyiapkan projek itu.

Ketika ditanya mengenai dakwaan syarikat pemaju projek itu, KAJ Development Sdn. Bhd. (KAJD) berhubung perjanjian itu dibatalkan tanpa sebab, beliau bagaimanapun enggan mendedahkan maklumat lanjut mengenai perkara itu.

“Saya tidak ada apa-apa komen (mengenai penamatan itu), hubungi peguam,” katanya.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan KAJD menggesa Kerajaan Negeri Melaka memberi penjelasan terhadap arahan membatalkan projek mega tersebut pada 16 November lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas KAJD, Datuk Michelle Ong dilaporkan berkata, kerajaan negeri menerusi Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Melaka menyerahkan surat penamatan bagi Perjanjian Tebus Guna Tanah, namun tidak memberikan sebarang alasan kukuh.

Views:

1828
Kongsi :
Previous post MBMB kurangkan caj sewa gerai
Next post Melakan Visit Melaka Packages 2.0 diyakini capai sasaran 5.6 juta pelancong
Ubah saiz-+=