Promosi mercun guna Facebook
BANDARAYA MELAKA 17 Jan – Satu sindiket penyeludupan dikesan memporomosikan penjualan mercun kepada pelanggan sekitar negeri ini menggunakan laman sosial Facebook.
Mereka juga dikesan menyediakan katalog dan senarai jenis mercun yang ditawarkan kepada pelanggan.
Taktik kumpulan berkenaan dibongkar selepas polis menyerbu sebuah banglo di Bukit Cina di sini, dijadikan tempat menyimpan mercun dan minuman keras tidak bercukai pada 14 Jan lalu.
Ketua Polis Melaka Datuk Wira Abdul Majid Mohd Ali berkata, serbuan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Khas D9 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.
“Hasil serbuan menemukan 146 kotak mengandungi pelbagai jenis mercun, 11 karton tin dan 13 botol minuman keras tidak bercukai dianggarkan bernilai RM150,000.
“Kami turut menahan tiga lelaki warga tempatan berusia 27 hingga 29 tahun.
“Manakala seorang lagi lelaki, Soh Wei Huang yang dipercayai dalang sindiket sedang diburu bagi membantu siasatan,” katanya dalam sidang media di IPK Melaka, hari ini.
Menurutnya, kesemua mercun dirampas adalah untuk pasaran Melaka sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Mengulas lanjut, Abdul Majid berkata ketiga-tiga suspek ditahan reman dua hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.