Sorting by

×

ProtectHealth, TERAJU promosi Skim Peduli Kesihatan Kumpulan B40

Masa Membaca:2 Minit, 15 Saat

KUALA LUMPUR, 24 Mac – ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) dan TERAJU Bumiputera Corporation (TERAJU) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi mempromosikan kesedaran mengenai Skim Peduli Kesihatan Kumpulan B40 (PeKa B40).

Menerusi MoU itu, TERAJU akan mengenal pasti klinik yang akan menyertai program dijalankan bagi meningkatkan jangkauan kepada komuniti Bumiputera B40 seluruh negara.

ProtectHealth adalah pentadbir skim penjagaan kesihatan untuk PeKa B40 iaitu satu inisiatif untuk menangani trend penyakit tidak berjangkit (Non-Communicable Disease – NCD) semakin meningkat, khusus dalam kalangan penduduk berpendapatan rendah.

Matlamat utama PeKa B40 adalah untuk pengesanan dan intervensi awal NCD, namun kos penjagaan kesihatan yang melambung tinggi disebabkan banyak faktor, menjejaskan kumpulan B40.

Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth, Datuk Dr Anas Alam Faizli berkata melalui program PeKa B40 penerima yang layak memperoleh manfaat pemeriksaan kesihatan dan bantuan alat perubatan percuma, insentif melengkapkan rawatan kanser serta tambang pengangkutan.

“ProtectHealth adalah organisasi pertama di negara ini yang berjaya membeli perkhidmatan daripada kedua-dua penyedia penjagaan kesihatan awam dan swasta sekali gus memberikan penjimatan kos besar kepada kerajaan.

“Fokus kita adalah membawa PeKa B40 lebih dekat kepada masyarakat melalui kerjasama TERAJU, melalui MoU ini juga dapat meluaskan akses program PeKa B40 ke seluruh negara,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau berkata TERAJU sebagai rakan strategik akan meningkatkan rangkaian ProtectHealth dalam mendekati lebih ramai penerima manfaat yang layak untuk menikmati faedah PeKa B40.

“InsyaAllah ini juga akan membuka jalan untuk bekerjasama dengan TERAJU dalam bidang strategik yang lain.

“Kejayaan program PeKa B40 terbukti apabila pendekatan ‘whole of government’ dan ‘whole of society’ Malaysia membuahkan hasil.

“Kami akan terus melibatkan diri dengan pihak berkepentingan untuk memastikan tidak ada masyarakat Malaysia ketinggalan dalam menerima manfaat disediakan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Md Silmi Abd Rahman berkata, MoU itu contoh terbaik di mana sistem penyampaian kerajaan dapat diperluaskan kepada semua lapisan melalui ekosistem TERAJU kepada komuniti B40 Bumiputera yang kurang berkemampuan.

“Di Sabah saja, program PeKA B40 ini dianggarkan akan memberi manfaat kepada lebih 400,000 Bumiputera, manakala di Sarawak pula dianggarkan seramai 480,000 orang bakal
mendapat manfaat daripada program ini.

“TERAJU akan terus memberi penekanan kepada inisiatif keselamatan sosial ini ke negeri lain dan menjadikannya sebahagian daripada program libat urus kami selaku agensi penyelaras utama di samping membantu meningkatkan status ekonomi Bumiputera,” katanya.

Untuk rekod lebih 567,956 orang daripada kumpulan B40 disaring dibawah program PeKa B40, namun masih terdapat 5.9 juta rakyat Malaysia yang layak dan belum menyertai program PeKa B40 itu.

Kerjasama strategik antara ProtectHealth dan TERAJU bertindak sebagai pemangkin dalam memacu negara ke arah kehidupan yang lebih sihat.

NCD sentiasa menjadi salah satu ketakutan terbesar dalam masyarakat dan program PeKa B40 akan menggalakkan pengesanan dan intervensi awal.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

955
Kongsi :
Previous post PMM laksana aktiviti hijau luar kampus
Next post UPUOnline Melaka mudahkan anak Melaka buat pilihan
Ubah saiz-+=